arrow_upward

Muharram/Safar
Isu 03-1

Mencari kekhusyukan

Allahu Akbar.

Allahu Akbar kabiira…

Esok pergi perpustakaan nak pinjam buku Takdir 3. Harap-harap tidak ada orang lain yang pinjam…

Bismillaahirrahmaanirrahiim. Alhamdulillahirabbil’alamiin…

Hujung minggu ni mama dan papa akan bawa kami jumpa Atuk. Tak sabarnya! Rindu kat Atuk! Tapi kertas kerja Cikgu Wafi tak siap lagi…

Bismillaahirrahmaanirrahiim. Qulhuwallahuahad…

Dengarnya Vermilion ada cuba resipi baru. Mudah-mudahan dapatlah rasa sikit…

Assalamua’laikum warahmatullah.

Alamak! Dah habis?

Aku beristighfar. Sekali lagi fikiranku menerawang. Aku gagal untuk memberikan perhatian sepenuhnya dalam solat. Terkilan rasanya. Teringat kuliah subuh Cikgu Dodol pagi semalam. Allah tidak memerlukan solat kita. Allah Maha Kaya(الغني), Maha Berdiri Dengan Sendiri-Nya (القيُّوم). Tetapi kita yang memerlukan solat untuk berhubung dengan Allah.

Sayangnya, sudah berkali-kali aku cuba untuk khusyuk tetapi tidak berjaya. Aku perlu membuat kelainan dalam cara aku mendekati solat. Tetapi bagaimana? Tiba-tiba aku teringat, Cikgu Espresso pernah mengajar kami tentang cara-cara untuk lebih fokus dan beri tumpuan dalam kelas. Mungkin aku boleh gunakan teknik-teknik yang sama untuk solat?

Hayati bacaan solat

Kajian menunjukkan, kita akan lebih menumpukan perhatian kepada perkara yang bermakna atau ada kaitan dengan diri kita. Untuk solat, aku perlu faham dan hayati apa yang aku lafazkan. Aku akan lakukan secara berperingkat, bermula dengan menghayati erti sujud yang sebenar semasa aku sujud.

Apabila kekhusyukan semasa sujud sudah meningkat, aku akan latih diri secara bertahap-tahap untuk mendapatkan kekhusyukan semasa rukuk, kemudian duduk antara dua sujud, dan seterusnya. Aku juga akan mencari tadabbur atau tafsir surah-surah Al-Quran, bermula dengan surah Al-Fatihah. Renungkannya dan cari kaitannya dengan kehidupanku. Azamku ialah supaya ayat-ayat Allah memberi kesan kepada jiwaku seperti yang disebut dalam Al-Quran:

“Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk. (kerana terkesan dengan ayat-ayat Al-Quran).”

(Q.S. Al-Israa’ [17] : 109)

Semoga pemahaman yang lebih mendalam tentang bacaan solat akan membuat tujuan solat lebih jelas dan menambahkan lagi kekhusyukan dalam solat.

Alihkan perhatian secara sengaja

Satu lagi teknik fokus dalam pembelajaran ialah memulakan dengan aktiviti mudah yang ada kaitan dengan topik yang hendak dipelajari supaya tumpuan beralih dari apa-apa perkara yang tidak ada kena mengena sebelumnya kepada pelajaran yang hendak ditumpukan.  

Di dalam konteks solat, aktiviti itu harus memusatkan fikiranku kepada Allah dan Hari Akhirat, seperti yang disebut dalam Al-Quran,

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (iaitu) mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan akan kembali kepada-Nya.”

(Q.S. Al-Baqarah [2] : 45-46)

Mungkin apa yang boleh aku lakukan ialah mengetepikan lima minit sebelum solat menghayati janji-janji Allah SWT tentang nikmat syurga-Nya dan siksaan api neraka-Nya. Aku boleh bertasbih, memerhatikan lafaz azan sebelum solat, atau berkata pada mindaku, “Sekarang aku hendak solat. Aku perlu fikir hanya tentang solat.”

Jika ada perkara yang aku mahu ingat selepas solat, aku akan mencatatnya terlebih dahulu dalam perantiku, supaya aku tidak lagi terfikir-fikir tentangnya di dalam solatku.  

Di masa yang sama, untuk mempunyai minda yang fokus memerlukan latihan. Oleh itu, aku perlu usaha dengan gigih untuk melatih mindaku tanpa putus asa. Setiap kali fikiranku melayang ke tempat lain semasa sedang solat, aku mesti berusaha untuk kembalikan tumpuanku kepada solat apabila menyedarinya.

Suntikkan kelainan

Menurut Prof. Lang (2020), adalah lumrah untuk perhatian manusia beralih kepada perkara yang lebih menarik jika sedang menghadapi situasi yang berulang atau sudah menjadi kebiasaan. Ini berlaku ketika dalam kelas, sedang memandu, mencuci pinggan dan sebagainya.

Tidak hairanlah jika solat, yang kita lakukan setiap hari, lima kali sehari, menjadi sesuatu yang kita buat secara automatik, tanpa kekhusyukan. Namun, ini bukanlah alasan untuk aku tidak berusaha untuk khusyuk. Aku patut malu untuk menghadap Yang Maha Agung (العظيم) tanpa perhatian sepenuhnya kepada-Nya. Tetapi bagaimana?

Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui (العليم). Dialah yang menciptakan kita. Oleh itu, Dialah yang lebih tahu bagaimana kita berfungsi. Allah SWT memberi kemudahan untuk kita mendirikan solat dengan rukun bacaan dan pergerakan yang sama seperti Al-Fatihah, rukuk dan sujud di setiap rakaat. Di masa yang sama, Allah membolehkan kita membaca surah lain untuk menyuntik sedikit kelainan setiap kali kita solat, supaya solat kita menjadi satu nikmat dan bukan hanya tabiat yang dilakukan secara automatik tanpa sedar sepanjang masa.

Aku berazam untuk menghafal lebih banyak surah-surah Al-Quran dan menghayati makna-maknanya, supaya aku boleh membacanya dalam solat. Tidaklah asyik baca tiga qul sahaja.

Bina kekhusyukan dari luar solat lagi

Solat adalah cara kita mengingati Allah SWT. Sayangnya, sebahagian besar masa kita disibukkan dengan memikirkan hal-hal keduniaan. Tidak hairanlah kalau kita dapati kesukaran untuk ubah hala fikiran kita untuk mengingati Allah SWT waktu kita hendak dirikan solat. Tetapi, jika sebahagian besar daripada masa kita, kita ingatkan Allah, lebih mudah untuk fikiran kita tertumpu pada Allah semasa solat.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku. Sesungguhnya hari kiamat itu pasti datang. Aku (Allah) merahsiakan (waktunya) agar tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang dia usahakan. Maka sekali-kali janganlah kamu dipalingkan oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan orang yang mengikuti hawa nafsunya yang akan menyebabkan kamu binasa.”

(Q.S. Taha [20] : 14-16)

Kunci mengingati Allah ialah untuk

Bermakna, aku perlu berusaha bukan sahaja pada saat sebelum solat atau semasa solat, tetapi menjaga diri dan hati aku di luar solat juga. Tidak hairanlah antara nasihat para ulama untuk kekhusyukan solat ialah dengan menjauhi kemaksiatan.

Khusyuk dalam solat satu mujahadah

Setiap kali mendengar cerita-cerita tentang solat Rasulullah SAW dan para sahabat, aku cukup teruja. Mereka begitu khusyuk dalam solat mereka sehingga tidak perasaan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Umpamanya, diriwayatkan bahawa seorang sahabat begitu fokus dalam solatnya sehingga apabila kakinya dipanah, dia minta supaya panah itu dicabut ketika dia sedang solat. Ini kerana, dia begitu khusyuk dalam solat sehingga kesakitannya tidak akan terasa.

Untuk mengecapi kekhusyukan dalam solat memerlukan usaha, ilmu dan latihan yang lebih banyak lagi. Perjalanan aku untuk mengecapi kekhusyukan masih jauh. Aku akan terus berusaha dan berusaha, kerana aku tidak mahu menjadi antara orang-orang yang rugi kerana solat aku tidak diterima. Semoga Allah membantu aku menemui jalan untuk mengecapi kekhusyukan solat sebagaimana yang dialami Rasulullah SAW dan para sahabatnya satu hari nanti.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

(Q.S. Al-Ankabut [29] : 69)

~Techie Qari~

Rujukan

Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah (2014). Rahsia nikmatnya solat (Ahmad Hamka bin Ab. Rashid, Penterjemah, Edisi Kedua). Al-Mihrab Publications.   

Pahrol Mohamad Juoi (2021). Rehatkan hati dengan solat (Cetakan Kelima). Iman Publication.

Lang, J. M. (2020). Distracted: why students can’t foucs and what you can do about it. Basic Books.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...