arrow_upward

Muharram/Safar
Isu 02-1

Manusia dicipta seimbang

“Demi matahari dan cahayanya di pagi hari.

Dan bulan apabila mengiringinya.

Dan siang apabila menampakkannya (terang-benderangnya matahari).

Dan malam apabila menutupinya (dengan gelap-gelita).

Dan langit serta pembinaannya.

Dan bumi serta hamparannya.

Dan jiwa (manusia) dan penyempurnaannya (keseimbangan kejadiannya).

Maka (Allah) mengilhamkannya kefasikan dan ketaqwaan.

Sesungguhnya berjayalah sesiapa yang menyucikan jiwanya.

Dan sesungguhnya rugilah sesiapa yang mengotorinya.”

(Q.S. Asy-Syams[91]: 1-10)

Allah menjadikan dunia ini seimbang. Setiap yang dicipta-Nya mempunyai gandingan yang saling melengkapkan, umpamanya matahari dengan bulan, malam dengan siang, langit dengan bumi.

Penciptaan manusia begitu juga. Manusia dicipta seimbang, seperti yang tertulis dalam ayat-ayat ini:

“Wahai manusia! Apakah yang memperdayakan kamu (berbuat derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah?

Tuhan yang telah menciptamu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikanmu seimbang.

Dalam apa sahaja bentuk yang Dia kehendaki, Dia menyusunmu.

(Q.S. Al-Infithar[82] : 6-8)
Gambar: Isai Ramos

Di dalam diri kita ada nafs. Nafs kita mempunyai keinginan materi seperti makanan yang sedap, pakaian yang cantik, rumah yang selesa, pasangan yang baik dan sebagainya. Nafs kita juga mempunyai keperluan rohani. Allah ciptakan manusia seimbang. Dia memasukkan sesuatu ke dalam nafs kita yang boleh membantu kita mengawal nafs itu, sama ada ke arah kejahatan atau kebaikan, seperti yang tertera dalam surah As-Syams ayat 8 di atas, “Maka (Allah) mengilhamkannya kefasikan dan ketaqwaan.”

Selama kita hidup, kita akan sentiasa berjuang untuk mengekalkan keseimbangan nafs kita. Penuhi keperluan materinya tetapi tidak sampai berlebih-lebihan sehingga ia menguasai kita dan menyekat keperluan rohaninya. Jika kita terlalu ikutkan hawa nafsu, ditakuti hati kita akan dimatikan daripada menerima hidayah, seperti amaran yang diberikan ini:

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah menyesatkannya berdasarkan ilmu-Nya, dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”

(Q.S. Al-Jatsiyyah[45]: 23)

Jelaslah bahawa cara untuk kembali kepada jalan ketaqwaan serta keseimbangan diri, manusia perlu menyucikan jiwanya dan melindunginya daripada dikotori, seperti yang tertera dalam surah As-Syams ayat 9-10 di atas, “Sesungguhnya berjayalah sesiapa yang menyucikan jiwanya. Dan sesungguhnya rugilah sesiapa yang mengotorinya.”

Lalu, bagaimana hendak menyucikan jiwa kita?

Menyucikan jiwa dengan mengingati Allah

Antara cara menyucikan jiwa ialah dengan mengingati Allah melalui zikir-zikir, ayat-ayat Al-Quran, solat-solat sunat dan sebagainya. Di dalam kesibukan kita mencari keperluan untuk kehidupan dunia dan melaksanakan tanggungjawab kita kepada keluarga dan masyarakat, wajibkanlah diri untuk ketepikan sedikit masa untuk beri tumpuan sepenuhnya bagi mengingati Allah setiap hari. Paling tidak pun, pastikan kita benar-benar tumpukan sepenuh perhatian kita pada Allah ketika kita mengerjakan solat lima waktu. Bagi kaum perempuan pula, adakan masa untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada waktu-waktu kita uzur dan tidak boleh solat.

“Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah akannya baik-baik, dan diamlah (dengan menumpukan fikiran) supaya kamu beroleh rahmat.

Dan sebutlah Tuhanmu dalam dirimu dengan merendah diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu menjadi daripada orang-orang yang lalai.”

(Q.S. Al-A’raaf[7]: 204-205)

Berusahalah dengan gigih untuk sentiasa mengingati Allah dengan rasa takut dan rendah diri. Di masa yang sama, janganlah biarkan kesenangan dunia melalaikan kita daripada mengingatiNya. Pertingkatkan hubungan kita dengan kalamNya, bukan setakat membaca, tetapi memahami, menghayati dan yang paling penting, mengamalkan ajaranNya. Kerana Al-Quran banyak memberi kita panduan bagi menyucikan jiwa, seperti yang dirumuskan dalam kedua ayat ini:

“Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu (Al-Quran) pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh (bagi penyakit-penyakit yang berada) dalam dada, serta petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Katakanlah: ‘Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Ia lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.’ “

(Q.S. Yunus[10]: 57-58)

Setiap orang akan mempunyai pengalaman yang berbeza-beza apabila merujuk kepada Al-Quran, sesuai dengan perjalanan hidup kita yang beraneka ragam. Itulah mukjizatnya.

Melindungi hati dari perkara-perkara yang merosakkannya

Di samping itu, kita perlu melindungi hati kita daripada apa-apa yang boleh merosakkannya. Hati yang telah dikotori dengan perkara-perkara yang melalaikan dan berdosa susah untuk kekal suci meskipun beribu-ribu kali disimbahi dengan zikrullah. Sekiranya kita terus-menerus ingkar pada Allah dan biarkan diri tenggelam dalam kemaksiatan, hati kita akan terus-menerus diselaputi kekotoran. Oleh itu, amatlah penting untuk kita juga melindungi hati daripada perkara-perkara yang merosakkannya.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang Kami telah lalaikan hatinya daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.”

(Q.S. Al-Kahfi[18]: 28)

Kesimpulan

Allah cipta manusia seimbang. Di dalam diri kita ada nafs yang boleh cenderung ke arah keburukan atau kebaikan. Untuk mengimbangi nafs kita agar kita menuju ke arah jalan yang baik, kita perlu jaga hati kita dengan sentiasa mengingati Allah dan melindunginya daripada apa-apa yang boleh merosakkannya.

Semoga kita sentiasa diberi perlindungan dan bimbingan ke arah jalan kebaikan. 

~Cikgu Dodol~

Sumber rujukan:

Bayyinah Institute. (2021, April 9). Counsel & Healing: An Introduction to the Ramadan 2021 Series [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=QHKTlxSRPN0

Bayyinah Institute. (2020, January 11). Internal struggle – khutbah by Nouman Ali Khan [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=NJqJzI5kGbI

Bayyinah Institute. (2017, September 16). Light up your heart – khutbah by Nouman Ali Khan [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=1rAotjRSJ1k

Bayyinah Institute. (n.d.). Al-Infithar (Ayat 6-19) – a concise commentary [Video]. Bayyinah TV Subscription.

Bayyinah Institute. (n.d.). Ash-Shams (Ayat 1-15) – a concise commentary [Video]. Bayyinah TV Subscription.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...