arrow_upward

Muharram/Safar
Isu 03-1

Manjazilla: Misi solat 5 waktu oleh Nazry Salam

Susah hendak solat? Tidak tahu bagaimana? Inilah bukunya!

Imran seorang budak sepuluh tahun yang tidak tahu dan tidak pernah solat kecuali tiga kali dalam seumur hidupnya. Ini kerana dia tidak pernah ke sekolah agama dan guru-gurunya yang lain tidak pernah menitik-beratkan tentang isu solat. Keluarganya pula bukan jenis yang pentingkan solat. Kasihan Imran. Adik saya si Munchkin pun lebih pandai tentang bab solat daripada Imran. Nasib baik kami mempunyai guru-guru yang bukan sahaja titik-beratkan solat, malah mengutamakan penghafalan ayat Al-Quran beserta maknanya sekali.

Apabila seorang guru pendidikan agama yang baru datang ke sekolah Imran mengumumkan bahawa dia akan mengadakan ujian amali solat, kelam kabut Imran. Yalah, takut dirotan di hadapan kawan-kawan jika gagal.

Bermulalah operasi belajar solat untuk lulus peperiksaan. Perancangan yang teliti dan segala yang berlaku dicatat oleh Imran dalam diarinya yang berbentuk komik. Kawan-kawan dapat sama-sama belajar apa yang Imran belajar tentang solat melalui contengan dan coretan Imran dalam diarinya. Kawan-kawan juga pasti terhibur dengan dilema dan kisah hidup Imran yang turut diluahkan dalam diarinya.

Sarat dengan ilmu yang disampaikan melalui ilustrasi menarik dan cara yang menghiburkan, buku ini baik untuk sesiapa yang baru hendak belajar solat, mahupun sesiapa yang ingin mengulangkaji pengetahuannya tentang solat.

Hmm… kalaulah semua buku sekolah saya macam ni, kan bagus…

Teg:

Anda mungkin juga berminat...