arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 03-5

Layakkah aku?

Sudah hampir setahun aku kembali berusaha untuk menghafal ayat-ayat Al-Quran. Dan sepanjang tahun ini, aku hanya berjaya selesaikan dua surah yang masing-masing mempunyai kurang daripada lima puluh ayat. Sepanjang tahun itu juga aku kadang-kala terlupa ayat-ayat tertentu atau tersilap membaca kalimah-kalimah tertentu sehingga perlu memperbetulkan semula hafalanku. Sekiranya aku terlepas walau satu hari untuk mengulangkaji dan menyemak ayat-ayat yang sudah aku hafal, aku terpaksa giatkan usahaku dengan lebih keras untuk kembali menghafal kerana pasti banyak yang aku terlupa.

Gambar: andy dmoya

Ada kalanya aku rasa putus asa. Terutamanya apabila mengenangkan tentang betapa beratnya tanggungjawab seorang hafiz. Mampukah aku? Layakkah aku? Patutkah aku teruskan usaha ini? Mungkin lebih baik aku serahkan tanggungjawab menghafal kepada orang lain yang lebih muda, hati yang lebih bersih, otak yang lebih cerdas daripadaku?

Aku kenangkan surah-surah yang aku telah berjaya hafal. Aku imbas kembali rutin harianku yang telah aku tetapkan setiap hari untuk menghafal A-Quran. Sayang pula akul untuk tinggalkan rutin itu. Apatah lagi memikirkan pengorbanan-pengorbanan yang telah aku buat.

Kemudian aku terfikir. Dalam berjuta-juta Muslim di dunia ini, kenapakah tiba-tiba timbul keinginan dalam diriku untuk menghafal Al-Quran? Terutamanya di usia yang lanjut ini? Tanpa disuruh pun oleh sesiapa. Berapa ramaikah orang yang boleh mengaku sedemikian?

Adakah Allah telah memilihku? Patutkah aku menolak?

Walaupun terasa payah, walaupun sesekali kecewa kerana terasa begitu lembab otakku ini, walaupun acapkali ada sahaja kalimat atau ayat yang aku lupa, aku sebenarnya menerima banyak nikmat lain yang memudahkan aku untuk menghafal Al-Quran. Aku tinggal di negara yang aman, dengan keperluan yang cukup dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan dan sebagainya. Aku masih dikurniakan nikmat penglihatan dan pendengaran. Aku dikelilingi kemudahan teknologi dari kemudahan internet, kepada pemilikan telefon bijak yang boleh memuat turun pelbagai aplikasi. Semua ini mempermudahkan lagi proses untuk aku menghafal Al-Quran.

Tiada alasan untuk aku tidak meneruskan usaha untuk menghafal kalimah-kalimah Allah. Aku tidak boleh putus asa. Aku perlu melawan rasa malasku dan tidak mengendahkan alasan-alasan yang datang dari syaitan. Aku mahu berusaha untuk menjadi antara orang-orang yang berlumba dalam membuat kebaikan.

“Dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu iaitu Kitab (Al-Quran) itulah yang benar, membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Mengetahui, Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.

Kemudian Kami wariskan Kitab itu kepada orang-orang yang Kami pilih dari hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang besar.”

(Q.S. Fatir [35]: 31-32)

Ya Allah, bantuilah aku yang lemah ini untuk terus istiqamah dalam menghafal Al-Quran dan mengekalkan hafalanku. Berkatilah dan terimalah usahaku ini agar ia dikira sebagai amalan soleh yang boleh memberatkan lagi neraca kebaikanku di akhirat nanti.

~Q~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...