Ketagihan Media Digital
Satu kajian oleh Moeller, Powers dan Roberts (2012)1 terhadap seribu pelajar dari 10 negara menunjukkan ramai para pelajar menghadapi kesukaran untuk berhenti menggunakan media digital untuk jangka masa dua puluh empat jam. Ramai daripada mereka yang menyertai kajian itu juga mengakui bahawa mereka ketagihan media digital.
Adakah anda menghidapi ketagihan? Cuba aktiviti ini2 untuk mengetahui jawapannya:
Cari jangka masa 24 jam berterusan untuk tidak menggunakan apa-apa media digital: internet, suratkhabar, majalah, televisyen, telefon bimbit, komputer, iPod, muzik, menonton filem (di pawagam, secara dalam talian atau apa jua bentuk), media sosial (Facebook, Instagram, Twitter, lain-lain), Playstation, permainan video dan sebagainya.
Jika anda membuat kesilapan dalam masa 24 jam tersebut (umpamanya dengan mengangkat telefon untuk menjawabnya tanpa sedar), jangan serta merta “serah kalah”. Catat kesilapan tersebut dan terus habiskan baki 24 jam tanpa penggunaan media. Pilih masa di mana anda tidak perlu menggunakan sebarang media untuk perkara penting seperti tugasan sekolah atau pekerjaan anda.
Berapa lamakah anda dapat bertahan? Apa perasaan anda? Apa yang terjadi? Apakah maknanya tentang diri anda? Beginilah beberapa luahan kawan-kawan kami yang mencubanya:
Bima Sakti: Rasa macam cacing kepanasan. Semua serba tak kena.
Nagasari: Habis, kalau bosan nak buat apa?
Techie Qari: Susahlah nak hafal Quran kalau tak boleh gunakan media.
Dalam zaman ini, memang sukar untuk tidak gunakan media digital, lebih-lebih lagi untuk menahan diri dari menyemak pesanan atau notifikasi dalam telefon bimbit setiap minit. Bagaimana hendak mengurus masa supaya kita tidak menghabiskan terlalu banyak masa dengan media? Ada yang mengesyorkan untuk menggunakan aplikasi telefon bimbit yang boleh menjejak berapa lama kita gunakan setiap aplikasi. (Kami menjumpai beberapa aplikasi sebegini dengan menggunakan kata carian ‘app interrupt screen time’ dalam Google Play.)
Selain daripada menjejak masa yang digunakan, aplikasi ini juga boleh digunakan untuk menghadkan penggunaan aplikasi lain atau laman web tertentu. Apabila had itu sudah dicapai, ia akan menghalang pengguna daripada menggunakan aplikasi itu atau melungsuri laman tersebut. Khabarnya ada juga yang digunakan para ibu bapa untuk mengawal penggunaan telefon bimbit anak-anak mereka.
Satu lagi jenis aplikasi yang disarankan ialah aplikasi timesheet yang biasa digunakan pemberi perkhidmatan bebas untuk menjejak berapa jam dihabiskan untuk klien mereka. Walaupun perlu lebih disiplin untuk menjejak masa sendiri, ia amat berguna untuk muhasabah diri ke mana masa kita telah dihabiskan.
Bagi kami, sebetulnya teguran daripada kawan-kawan atau cikgu lebih berkesan untuk menghentikan kami menggunakan media daripada sebarang aplikasi. Mencari aktiviti santai yang boleh dibuat bersama tanpa menggunakan media juga cukup berkesan. Ayuh, sama-samalah kita saling membantu untuk mengurangkan ketagihan kita terhadap media digital!
~Aurora~
1Moeller, S., Powers, E., & Roberts, J. (2012). «The world unplugged» and «24 hours without media»: Media literacy to develop self-awareness regarding media. Comunicar. Media Education Research Journal, 20(2), 45–52. https://www.scipedia.com/public/Moeller_et_al_2012a
2Jensen, F. E., & Nutt, A. E. (2014). The teenage brain: A neuroscientist’s survival guide to raising adolescents and young adults. HarperCollins.