arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 03-5

Istimewanya bahasa Arab

Mengeluh saya apabila diberitahu pelajaran bahasa Arab adalah wajib dalam sekolah baru saya. Dua bahasa pun saya terkial-kial untuk mahirkan diri. Sekarang hendak tambah satu lagi?

Namun Alhamdulillah, saya beruntung kerana cikgu kami seorang cikgu yang cekap mengajar bahasa Arab dalam cara yang mudah untuk kami faham. Pelajaran bahasa Arab kami juga diajar pada tahap yang perlahan sehingga semua orang mampu mengikutinya. Tamabahan pula, kami tidak perlu tulis karangan seperti dua subjek bahasa yang lain! Berkat pengajaran cikgu, saya kini punya asas dalam bahasa Arab.

Dan saya rasa amat bertuah diwajibkan mempelajari bahasa Arab kerana asas yang saya ada telah membantu saya mempercepatkan proses menghafal Al-Quran. Pengetahuan dalam nahu Arab, misalnya, memudahkan saya untuk lebih yakin adakah huruf di hujung sesuatu perkataan itu perlu tanwin, dan bilakah ia perlu berbaris atas, bawah atau depan. Satu lagi yang seringkali mengelirukan ialah bilakah sesuatu perkataan itu diakhiri dengan ها atau ه. Mengetahui perbezaannya membolehkan saya mengingati dengan lebih tepat sesuatu perkataan berdasarkan makna dan konteks ayat. (Secara ringkas tanpa menghuraikannya terlalu dalam, yang pertama untuk ‘perempuan’ dan yang kedua untuk ‘lelaki’).

Saya juga amat teruja apabila pengetahuan saya dalam bahasa Arab membolehkan saya lebih menghayati ayat-ayat Al-Quran dengan lebih mendalam, yang tidak mungkin saya dapat hanya melalui terjemahan. Umpamanya, dalam surah Qaf ayat 9 yang bermaksud,

“Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-bijian tanaman yang diketam.”

Q.S. Qaf [50]: 9

perkataan نَزَّلْنَا  diterjemahkan sebagai ‘Kami turunkan’ dalam banyak mushaf dan aplikasi. Tetapi makna yang lebih tepat ialah ‘Kami turunkan berulang-ulang’. Subhanallah! Begitu luasnya rahmat Allah memberikan kita nikmat air hujan bukan sekali, tetapi berkali-kali, terus-menerus, dari zaman ke zaman. Dan itu hanya air hujan! Banyak lagi nikmat yang Allah berikan kepada manusia tanpa henti. Perkataan ini membuat saya lebih lagi menghargai nama-nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.  

Ya, memang tidak perlu untuk tahu bahasa Arab bagi memahami dan membaca Al-Quran. Tetapi pengetahuan bahasa Arab dapat memberi kita kelebihan yang menambahkan lagi keseronokan mengamati kalimah-kalimah suci Allah SWT.

~Aurora~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...