Indahnya Afrika Selatan
Afrika Selatan. Bukan negara pertama yang akan timbul di minda apabila sedang merancang untuk melancong ke luar negara. Bukan juga negara kedua, ketiga atau keempat. Ramai orang mungkin tak terfikir langsung untuk memilih Afrika Selatan sebagai destinasi pelancongan.
Namun semenjak Afrika Selatan memfailkan kes di mahkamah keadilan antarabangsa (International Court of Justice), ramai orang mula memberi perhatian kepada negara itu. Pun begitu, masih ramai yang ragu-ragu untuk ke sana. Antara alasan yang diberikan adalah kebimbangan tentang keselamatan, kerana kadar jenayahnya yang tinggi.
Tetapi benarkah begitu? Atau adakah media massa lebih banyak membesar-besarkan kes-kes jenayah di situ? Ataupun kerana ia negara yang majoriti orangnya berkulit hitam, orang lebih prejudis terhadap negara itu berbanding negara-negara seperti Asia Utara, Timur Tengah atau negara Barat?
Alhamdulillah, beberapa anggota pasukan rihlah berpeluang untuk ke Afrika Selatan baru-baru ini. Rombongan kami yang dikendalikan agensi pelancongan tempatan ini disertai dua puluh lima orang termasuk kami. Dan atas rahmat Tuhan, lawatan kami berjalan dengan selamat dan aman. Banyak tanggapan negatif yang kami ada mengenai Afrika meleset. Malah kami dapati banyak perkara yang amat mengagumkan.
Kami diperkenalkan kepada orang-orang Afrika Selatan yang mesra, ramah dan cekal. Kami bertuah dapat menikmati keindahan ciptaan Tuhan di bahagian dunia yang kaya dengan sumber asli dan kawasan alam semulajadi. Kami merasai satu keterujaan yang membuat kami merindui untuk ke sana lagi.
Dalam edisi kali ini, kami kongsi pengalaman kami di Afrika Selatan dan berharap ia dapat mengubah sikap prejudis dan menimbulkan keingingan para pembaca rihlah untuk pergi ke sana.
“Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” (Q.S. Al-Mulk [67]: 15)
~Editor~