Hidup dunia satu perjalanan
Adakah anda perasaan, berapa kalikah disebutkan di dalam Al-Quran tentang akhirat? Al-Quran amat menekankan tentang kehidupan di akhirat. Hatta jika disebut tentang dunia sekalipun, pasti akhirat disebut seiring dengannya. Umpamanya di dalam surah Ali-Imran ayat ke-185 kita diingatkan:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.“
(Ali-Imran: 185)
Oleh itu, pasukan majalah rihlah memilih slogan kata, “Hidup dunia satu perjalanan”. Ia untuk mengingatkan kita, kehidupan di dunia pasti ada cabaran-cabarannya. Kehidupan dunia hanya sementara. Kehidupan ini bukan destinasi kita. Kehidupan ini pasti ada pasang surutnya. Apabila kita sedang berada di atas, beringat-ingatlah selalu kerana ia tidak akan berkekalan dan apabila kita berada di bawah, bersabarlah kerana kesusahan itu akan berlalu juga. Kesudahan kita adalah akhirat di mana kita akan hidup selama-lamanya dan syurgalah destinasi yang kita semua dambakan.

Itulah mesej yang ingin disampaikan oleh pasukan majalah rihlah dalam mengongsi pengalaman dan pengamatan kami meniti kehidupan di dunia ini sambil berusaha untuk mendapatkan kebahagian yang hakiki di akhirat kelak. Diharap perkongsian kami sedikit sebanyak berguna kepada para pembaca. Insya Allah.
Alhamdulillah. Setelah bertahun-tahun memikirkan tentang idea untuk membuat majalah ini, kami akhirnya menolak tepi keraguan dalam hati sehingga terhasillah isu pertama ini. Syukur kepada Allah s.w.t kerana memberikan kami kekuatan dan ilham.
Selain kisah hidup dan luahan hati, setiap isu juga akan menyentuh tentang kegiatan-kegiatan yang merehatkan minda, buku yang menarik untuk dibaca serta teknologi.
Dalam isu sulung ini, artikel-artikel yang kami ketengahkan membawa tema ‘masa’ – ajakan untuk menilai dengan masa, pandangan yang lebih meluas tentang pengaturan masa dan bagaimana untuk mendapatkan lebih masa.
Semoga mendapat manfaat.
~Editor~
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang majalah rihlah dan pasukan di sebaliknya, sila ke bahagian ‘Tentang Kami’.