arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 03-3

Hamba pada teknologi

Mata tertumpu pada skrin. Semasa dalam bas, semasa sedang duduk makan bersama keluarga, hatta semasa televisyen terpasang di hadapan. Telefon bimbit benda pertama yang kita capai sebaik bangun dari tidur dan benda terakhir yang kita lihat sebelum kita lelapkan mata. (Sempat ke baca doa sebelum dan selepas tidur?).

Ketagihan? Mana mungkin. Ini sudah lumrah kehidupan hari ini. Era teknologi. Usah ketinggalan zaman.

Benarkah ia sudah jadi kebiasaan? Bahawa telefon bimbit tidak dapat dipisahkan lagi daripada setiap masa senggang kita? Pernahkah terfikir apa akibatnya apabila terlalu bergantung pada alat yang tidak bernyawa tetapi lebih kita cintai daripada kekasih hati kita?

Terdapat banyak penyelidikan yang telah dijalankan tentang kesan buruk telefon bimbit kepada manusia apabila digunakan secara keterlaluan. Mungkin kita pernah mendengarnya, tetapi tidak mengendahkannya. Bukankah ramai orang menggunakan telefon bimbit dua puluh empat jam? Tidak mungkin ia seburuk yang diwawarkan. (Dua puluh empat jam? Ya, dalam mimpi juga!)

Tetapi itulah kata-kata penafian seseorang penagih dadah, penagih alkohol, penagih pornografi dan bermacam-macam penagih lagi. Tidak, aku tidak ketagih. Tidak, aku hanya gunakan sedikit atau sekejap sahaja. Tidak, aku mampu mengawalnya. Kerana sudah terlalu asyik dan khayal dengan kenikmatan yang diraih dari benda yang diketagihkan, perkara yang buruk pun dirasakan baik. Awas! Jangan mudah terpedaya dengan bisikan syaitan yang menipu kita untuk menghalalkan masa yang kita buang dengan telefon bimbit kita.

“Wahai manusia! Sesungguhnya, janji Allah adalah benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.”

(Q.S. Al-Fatir [35]: 5)

Yang lebih membahayakan, kesan-kesan buruk dari ketagihan telefon bimbit( yang banyak disahkan ahli akademik dan pakar psikologi), boleh membawa kesan buruk kepada keimanan kita dan kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

Tidak percaya? Atau sudah percaya, tetapi tidak tahu bagaimana hendak menanganinya? Mari kita kupas sama-sama.

~Editor~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...