arrow_upward

Muharram/Safar
Isu 02-1

Dilema seorang pelajar

Tempoh hari, kami meraikan kejayaan abang sepupuku yang baru sahaja menerima ijazah dalam bidang kewangan. Malah, ibu bapanya sangat gembira kerana dia telah pun ditawarkan tempat untuk bekerja di sebuah bank tanah air.

Dalam kemeriahan majlis kesyukuran itu, abang sepupuku tiba-tiba membuat pengumuman bahawa dia telah berdaftar untuk membuat pengajian di luar negara dalam bidang ekonomi Islam. Tawaran kerja yang diterima telah ditolaknya.

Suasana gembira tiba-tiba menjadi tegang. Ibu bapa abang sepupuku tidak dapat terima berita yang disampaikan itu. Pakcikku bertegas supaya semua tetamu yang hadir mengabaikan apa yang abang sepupuku katakan dan menganggap yang abang sepupuku tidak serius.

Namun abang sepupuku cukup serius. Terjadilah perbalahan antara mereka anak-beranak. Akhirnya dia pergi juga meskipun ibu bapanya tidak merestui keputusannya.

Dilema yang abang sepupuku hadapi bukanlah dilema terpencil. Banyak lagi graduan Muslim di luar sana yang merasakan bahawa ilmu yang mereka ada belum cukup sempurna. Dan bagiku, perasaan mereka tidak patut diketepikan begitu sahaja.

“Bukan kami hendak mengetepikan bidang ‘duniawi’ yang kami ceburi seratus-peratus. Tetapi salahkah untuk kami mengambil sedikit lagi masa untuk melengkapkan ilmu dengan ilmu ‘ukhrawi’ pula? Lebih-lebih lagi jika kami datang dari keluarga yang mampu, yang tidak perlukan sangat pun kami mula bekerja untuk menyara kehidupan keluarga, seperti keluarga abang yang sudah cukup segala-galanya,” abang sepupuku sempat meluahkan perasaannya kepadaku sebelum dia berangkat. 

Gambar: Lunacy

Aku simpati dengan dilema abang sepupuku. Aku juga tertanya-tanya, bukankah kita patut sokong pelajar-pelajar sedemikian? Berikan mereka galakkan, dan bantu mereka untuk terus menimba ilmu dan tidak berputus asa. Lebih-lebih lagi kerana kita sebagai masyarakat telah gagal untuk menyediakan institusi pendidikan yang lebih menyeluruh untuk anak-anak Islam dari peringkat rendah hingga sarjana. Sehinggakan mereka terpaksa mencari ilmu ‘duniawi’ di satu univerisiti, kemudian menghabiskan beberapa lagi tahun di universiti yang lain untuk menimba ilmu ‘ukhrawi’ pula.

Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa ilmu dalam zaman ini dikuasai mereka yang bukan Islam. Bahan pelajaran yang anak-anak Islam kita terima seperti silibusnya, bukunya, atau cara pemikirannya lebih berbentuk sekular, meskipun para pengajarnya sendiri Muslim. Sebahagian besar universiti juga diterajui oleh orang bukan Islam. Hatta dalam universiti tempatan sendiri, para pensyarahnya menerima pendidikan sekular dari universiti di luar negara. Natijahnya, mereka kurang ilmu dari sudut perspektif Islam dalam bidang mereka sendiri.

Ini mendatangkan kerugian yang sangat besar. Dan kesan itu sudah pun kita rasakan hari ini. Ambil contoh bidang yang abang sepupuku pelajari selama empat tahun. Ramai para graduan kewangan Muslim tidak tahu apa-apa pun tentang riba, gharar dan sebagainya. Kerana tiada ilmu sedemikian, umat Islam terus-menerus mengamalkan sistem bank konvesional dan para graduan kewangannya terus-menerus meraih pendapatan dari bank konvensional kerana a) kurang ilmu, b) kurang tempat kerja bank alternatif yang berdasarkan hukum Islam dan c) kurang sokongan untuk bank sedemikian.

Natijahnya, ramai di antara kita yang tidak terlepas dari sistem kewangan yang mempunyai unsur-unsur riba, seperti membuat pinjaman membeli rumah, membuat pinjaman untuk belajar, ataupun menyimpan wang simpanan dalam bank konvensional yang memberikan bunga yang diraih dari riba. Sangat sukar untuk mendapatkan khidmat bank yang seratus peratus halal. Ini juga bermakna kita terus-menerus menganiaya dan dianiaya seperti yang disebut di dalam Al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba jika kamu benar orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”

(Q.S. Al-Baqarah [2]: 278-279)

Fikirkan pula seorang pelajar Muslim yang menceburi bidang perubatan. Dia mahir dalam ilmu tentang tubuh manusia, bagaimana ia bergerak dan berjalan, punca-punca yang boleh membuat tubuh itu sakit dan cara-cara mencegah atau merawat penyakit tersebut. Adakah ia mencukupi?

Ada kemungkinan dia akan begitu yakin, dengan ilmunya, dia boleh merawat semua penyakit. Dan apabila ada pesakit yang dia tidak dapat rawat dengan berjaya, dia akan berputus-asa. Kerana dia lupa bahawa dia hanya boleh berusaha, tetapi yang benar-benar menyembuhkan penyakit adalah Allah s.w.t.. Tanpa ilmu tauhid, ilmu kedoktoran belum lagi lengkap.

Bagaimana pula seorang doktor hendak memberi nasihat kepada pesakit yang tidak boleh terkena air, untuk mengangkat hadath kecil? Atau kepada seorang wanita yang hendak mengenal darah istiadah? Ini semua memerlukan ilmu dalam kedua-dua bidang perubatan dan bidang fiqh.

Untuk seorang Muslim mencari keseimbangan dalam kehidupan, dia memerlukan ilmu yang juga seimbang. Renungkan dan bermuhasabahlah tentang sistem pendidikan kita yang banyak kekurangan untuk anak-anak muda Muslim kita. Kita harus berusaha untuk membina lebih banyak sistem pendidikan yang lengkap dari sudut ilmu ‘duniawi’ dan ‘ukhrawi’. Dan selagi mana kekurangan dalam sistem pendidkan kita masih ada, janganlah rendah-rendahkan usaha anak-anak kita yang ingin mengejar ilmu ‘ukhrawi’ demi melengkapkan apa yang kurang dalam pendidikan ‘duniawi’ mereka. Bagi mereka yang tidak pernah terfikirkan tentang itu pula, ketepikanlah masa untuk melengkapkan ilmumu, tidak kira apapun bidang yang kita ceburi.

~Techie Qari~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...