Cikgu Hojicha: Contengan Jalanan oleh Hlovate
Manusia mudah tergoda dengan kecantikan dunia. Lalai dengan tarikan-tarikannya. Tetapi Tuhan Maha Penyayang Maha Mengasihani. Apabila kita semakin jauh, Dia akan menyedarkan kita untuk kembali ke pangkal jalan.
Buku ini mengingatkan aku tentang itu.
Terdapat dua jalan cerita dalam buku ini. Kedua-duanya menarik dan menginsafkan, mengenai dua orang peminat muzik dan bagaimana mereka terpanggil untuk mendekatkan diri mereka pada Tuhan. Masing-masing melalui perjalanan hidup yang bebeza, menuju pengakhiran yang sama. Hlovate mempunyai cara penulisan yang tersendiri. Kesudahan cerita-ceritanya sungguh tidak dijangka. Namun jalan ceritanya banyak kesamaan dalam realiti kehidupan, hanya kita manusia yang sentiasa lalai dan tidak mahu mengambil iktibar dari apa yang terjadi di sekeliling kita. Gaya santai dan dialog-dialog melucukan membuat novel ini mudah dibaca dan dihabiskan.
Apabila dipanggil untuk pulang ke pangkal jalan, jangan abaikan panggilan itu. Takut kita terus-menerus hanyut dalam kesenangan dunia yang memperdayakan.
“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanya permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang mengagumkan para petani (dengan) tanam-tanamannya; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akirat ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaannya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.“
(Al-Hadid: 20)