arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 04-2

Cinta yang keterlaluan

Zaman ini, penggunaan telefon bijak sudah sebati dengan rutin harian kita. Penggunaannya dianggap mesti di tempat kerja. Kalau tidak ada telefon bijak, kemungkinan besar kita akan dianggap tidak mahu bekerjasama atau tidak cukup dedikasi terhadap pekerjaan kita. Dalam hubungan antara keluarga dan sahabat pula, hubungan boleh terputus dari mereka yang tiada telefon bijak. Jarang sekali seseorang akan angkat telefon untuk berbual atau menulis surat, hatta dengan ibu dan ayah di kampung. Datuk dan nenek pun sudah pandai buat panggilan video!

Gambar oleh Sean Do di Unsplash

Pun begitu, kita seharusnya menghadkan penggunaan telefon bijak kita. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang memberi amaran agar kita tidak terpedaya dengan hiasan dunia. Dan salah satu hiasan dunia yang amat melalaikan di zaman ini ialah hiburan yang ada di hujung jari kita – telefon bijak kita. Tidak kiralah sama anda anda pemain tegar, pengikut media sosial yang setia ataupun peminat drama, setiap masa senggang dihabiskan dengan tertumpu pada skrin telefon.

Mungkin anda akan mengatakan, “Takkanlah hendak berhibur sekali-sekala pun tak boleh?” Masalahnya, ramai antara kita tidak cukup kuat untuk mengawal diri kita apabila sudah mula menggunakan telefon kita. Satu jam menjadi dua, tiga, empat jam. Janji untuk berhenti apabila azan asar berkumandang, tetapi akhirnya solat asar terkejar-kejar dikerjakan pada akhir waktu. Kata hendak tidur awal, sebaliknya apa yang terjadi, satu malam tidak tidur. Semuanya gara-gara telefon bijak.

Dan apabila kegunaan teknologi tidak terkawal, akibatnya bermacam-macam.

Ia boleh membuat kita membuang masa, tenaga dan mungkin wang untuk sesuatu yang sia-sia.

“Sekali-kali janganlah demikian! Bahkan kamu mencintai kehidupan dunia, dan mengabaikan (kehidupan) akhirat.”
(Q.S. Al-Qiyamah [75]: 20-21)

“Dan ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Q.S. Al-A’raf [7]: 205)

Ia boleh merosakkan hati dan iman.

“Yang demikian itu disebabkan sesungguhnya mereka lebih mencintai kehidupan dunia daripada akhirat, dan bahawasanya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. Mereka itulah orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah. Mereka itulah orang yang lalai.”
(Q.S. An-Nahl [16]: 107-108)

Ia boleh membuatkan kita mengagungkan benda tidak bernyawa melebihi pengagungan kita kepada Allah Yang Maha Besar lagi Maha Agung.

“Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Apakah kamu dapat menjadi pelindungnya?”
(Q.S. Al-Furqan [25]: 43)

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, yang mereka cintai sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahawa Allah sangat berat azab-Nya (nescaya mereka menyesal).”
(Q.S. Al-Baqarah [2]: 165)

Bertaubatlah sebelum terlambat.

“Dan taubat itu tidaklah (diterima Allah) daripada mereka yang melakukan kejahatan hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) dia mengatakan, “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” Dan tidak (pula diterima taubat) dari orang-orang yang meninggal sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan azab yang pedih.”
(Q.S. An-Nisa [4]: 18)

Biar kita yang mengawal telefon kita, bukan telefon yang mengawal kita!

~Cikgu Asam Pedas~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...