Cinta sebelum berkahwin
Cikgu, saya amat mencintai seorang gadis. Dia cantik, bijak, penyayang. Salahkah untuk remaja bercinta?
~Yang Mabuk Kepayang~
Jawapan:
Cinta antara seorang lelaki dan perempuan adalah fitrah manusia. Perasaan cinta akan mula berputik apabila seseorang meningkat remaja, iaitu ketika dia sudah akil baligh. ‘Cinta yang datang tanpa dipaksa,’ kata si remaja.
Memang benar. Tetapi ada syaratnya. Seperti kata Ustaz Pahrol Mohd. Juoi,
‘…oleh sebab cinta adalah fitrah, maka tidak salahlah untuk merasai dan menikmatinya….
Namun, Allah tidak mengurniakan rasa cinta secara polos begitu sahaja. Justeru, Dia juga telah mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar oleh manusia khususnya para remaja. Rasa cinta tidak salah. Tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta.‘
(‘Tentang Cinta’ oleh Pahrol Mohamad Juoi, pg 16)
Lalu apa yang perlu kita lakukan dalam menangani perasaan cinta itu?
Pendamkan. Ingatlah, cinta antara lelaki dan perempuan dalam Islam hanya punya satu tujuan: pernikahan. Jika belum cukup matang dan persediaan untuk berumah tangga dan membina sebuah keluarga, cinta itu patut diabaikan dahulu.
Tiada apa-apa faedah yang dapat diraih jika ia diluahkan atau dimanifestasikan dalam bentuk hubungan kekasih sebelum nikah. Malah ditakuti ia akan mengundang banyak perkara-perkara haram yang lain. Anggapah perasaan cinta itu satu ujian dan senjata untuk syaitan menundukkan kita. Ingat, nikmat juga satu ujian, termasuk nikmat perasaan cinta.
‘Tetapi cikgu, saya benar-benar serius hendak memperisterikan si dia satu hari nanti. Takkanlah kami tidak boleh jalinkan hubungan dahulu sebagai ‘persiapan’ bagi pernikahan itu nanti.’
Cuba bayangkan analogi ini. Anda melihat sebuah telefon bijak yang sangat anda suka di sebuah kedai. Namun, anda tidak mampu membelinya. Adakah anda akan berusaha mencari duit dengan cara yang halal supaya satu hari nanti anda dapat memilikinya secara sah, mengikut prosedur yang betul (iaitu membayarnya)? Atau adakah anda akan mencurinya kerana tidak sabar untuk mendapatkannya?
Dalam bab bakal pasangan hidup pula, tentulah anda akan lebih peka dan hati-hati lagi. Anda tentu akan pastikan cara anda memiliki pasangan hidup anda mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Allah. Sudah tentu anda akan berusaha keras untuk mempersiapkan diri anda menjadi seorang suami dan ayah (atau isteri dan ibu) dengan menimba ilmu, mendapatkan pekerjaan tetap dan memperbaiki akhlak terlebih dahulu.
‘Kalau tidak selalu bertemu dan keluar bersama-sama, bagaimana saya hendak kenali dia dan tahu sama ada dia serasi sebagai pasangan hidup saya?’
Adakah seorang kekasih benar-benar mengenali kekasihnya? Jumpa hanya beberapa jam setiap hari di luar rumah. Di tempat yang menggembirakan. Melakukan perkara yang menggembirakan. Apabila bertemu, hanya sikap yang baik-baik sahaja ditunjukkan. Sikap dan tabiat yang buruk cuba disembunyikan. Tetapi apabila sudah berkahwin, sikap dan tabiat itu tidak boleh disembunyikan kerana kita sudah tinggal serumah dengannya dan berada bersamanya dari pagi hingga malam, berkongsi rutin harian yang tidak semestinya menyeronokkan, seperti membersih, memasak, mengurus kewangan dan sebagainya.

Oleh itu, alasan untuk keluar kerap dengan bakal pasangan supaya dapat lebih ‘mengenalinya’ hanya alasan semata-mata. Adalah lebih baik kita latih diri kita untuk bersabar, kerana kesabaran amat diperlukan untuk kita menghadapi kerenah pasangan kita apabila sudah hidup bersama nanti.
‘Tapi cikgu, susahlah untuk saya pendamkan perasaan ini.’
Baiklah. Tanya pada diri sendiri. Adakah cinta anda pada Allah dan Rasul-Nya sudah cukup mendalam? Allah telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita yang tidak mungkin terbalas. Jika kita belum mensyukuri dan mencintai-Nya selayaknya, bagaimana mungkin cinta kita terhadap seorang manusia yang serba kekurangan, dapat bertahan? Kalau kita tidak mampu mencintai Allah yang telah berikan segala-segalanya kepada kita, bagaimana mungkin kita hendak cinta seorang makhluk kerdil yang tidak sempurna? Cintakah itu? Atau kehendak hawa nafsu semata-mata?
Mudah-mudahan, apabila kita sedar yang kita belum mampu memberikan cinta kita kepada Yang Maha Esa selayaknya, kita berusaha dengan lebih gigih untuk bermujahadah mengawal perasaan ‘cinta’ kita terhadap makhluk-Nya.
Panduan di dalam Al-Quran sangat jelas tentang bagaimana kita sepatutnya mengendalikan hawa nafsu kita.
“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, hendaklah mereka menjaga pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Susungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka buat.
Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, hendaklah mereka menjaga pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka (aurat), kecuali yang (biasa) terlihat daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka (aurat), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka,… (sehingga akhir ayat).”
(Q.S. An-Nur [24]: 30-31)
Syukurilah rasa cinta yang Allah anugerahkan kepada kita. Tetapi selagi kita belum mampu untuk mengikat cinta itu dalam satu pernikahan, jangan biarkan diri terbawa-bawa dengan cinta serta mohonlah pertolongan Allah untuk mengendalikan perasaan itu.
~Cikgu Dodol~