Cikgu Inang-Inang: Novel-novel Sri Rahayu Mohd Yusop
Bukan mudah untuk mencari novel Melayu yang berkualiti sekarang ini. Novel yang mampu memancing kita untuk terus membaca kerana gaya penulisan dan jalan ceritanya yang menarik tanpa mengorbankan ketepatan bahasa. Kerana itulah saya meminati novel-novel yang ditulis oleh Sri Rahayu Mohd Yusop.
Setiap novel yang pernah saya baca oleh Sri Rahayu sangat unik, mempunyai mesej tertentu dan tidak membosankan. Meskipun bahasanya tinggi, buku-bukunya masih mudah difahami. Sri Rahayu juga berjaya memelihara kesantunan dan kesopanan budaya Melayu dalam tulisannya. Bagi saya, karya-karyanya membuktikan, kita tidak perlu mengikut budaya dan pemikiran yang lebih bebas dan kadang-kala ganas semata-mata untuk menarik minat pembaca. Saya juga mempelajari pelbagai perkara yang diketengahkan dalam setiap novelnya, dari perihal bintang, langit dan kelip-kelip dalam ‘Bimasakti Menari’, isu kewujudan roh dalam ‘Impuls/Roh’, kepada seni pembikinan keris dalam ‘Empunya Kalbu’. Tidak hairanlah karya-karyanya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan setiap tahun, dari 2006 hingga 2011.
Sempena isu kali ini, saya mensyorkan buku ‘Warisnya Kalbu’ sebagai permulaan bagi sesiapa yang ingin meneroka karya-karya Sri Rahayu.
Warisnya Kalbu oleh Sri Rahayu Mohd Yusop
Pantun. Satu seni sastera Melayu yang mencerminkan ketinggian daya fikiran dan keindahan bahasa masyarakat Melayu dahulu. Bukan senang hendak menyusun kata-kata yang padat, berisi dan beritma untuk menjawab pantun yang dijual secara spontan! Sayangnya budaya berpantun sudah hilang di kalangan masyarakat Melayu kini, hatta dalam adat merisik sekalipun. Jelas, kita tidak lagi mempunyai ketangkasan akal dan kesantunan bahasa untuk menjadikan pantun sebahagian daripada kehidupan harian kita.
Dalam ‘Warisnya Kalbu’, watak utamanya ialah Hassan, seorang remaja yang mewarisi sebuah catatan lama seorang gadis bernama Tun Cempaka. Melalui catatan itu, kisah Tun Cempaka dan abangnya, Tun Hassan (ya, namanya sama dengan watak utama) diceritakan. Tun Hassan telah diminta mengajar pantun kepada seorang gadis, anak saudara kepada seorang gabenor Inggeris. Tun Cempaka terkejut apabila kekandanya setuju kerana keadaan waktu itu amat genting. Tuan mereka, Tun Mutahir, baru sahaja diserang oleh musuh dan mereka mengesyaki orang-orang Inggerislah dalangnya. Kebencian terhadap ‘penceroboh’ ketika itu amatlah tinggi. Kenapa Tun Hassan setuju? Bacalah kalau hendak tahu apa yang berlaku. Jalan ceritanya amat menarik, sungguh!
Meskipun banyak perkara tentang pantun diterangkan di dalam novel ini, pembaca tidak akan rasa bosan kerana penulis berjaya menyampaikan ilmu pantun melalui jalan cerita yang menarik, yang ada kalanya manis, ada kalanya membangkitkan semangat dan ada kalanya mendebarkan. Pantun-pantun yang diselitkan juga menonjolkan keindahan seni Melayu ini dan menambahkan lagi seri karya ini.
Moga-moga novel ini dapat menimbulkan keinginan anak muda untuk menghargai dan mempelajari tentang pantun dengan lebih mendalam.