arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 04-2

Cikgu Espresso : Lentera Mustika oleh Nisah Haron

Novel cinta memang berlambak di pasaran. Tetapi sukar untuk saya jumpa novel cinta Melayu yang menepati citarasa saya. Sedangkan potensi untuk novel cinta yang mengekalkan kesopanan budaya dan bangsa Melayu lama, amat besar. Ini kerana banyak bangsa lain sudah tidak lagi menghormati batas-batas hubungan lelaki dan wanita dalam karya-karya mereka di zaman ini. Sebaliknya, ramai orang Melayu masih menjaga tatasusila budaya Melayu. (Cuba adakan filem atau drama Melayu di mana pelakonnya bercumbuan. Pasti ramai orang Melayu akan mengkritik). Oleh itu, novel cinta Melayu boleh mengisi permintaan untuk pembaca-pembaca yang mendambakan karya-karya yang masih punya suasana ‘malu’ dan ‘bersih’.

Antara ciri-ciri yang saya harapkan dalam sebuah novel cinta Melayu ialah ia:

  1. menggunakan bahasa Melayu yang baik, yang mencerminkan keindahan bahasa Melayu. Tidak perlulah bahasa sastera yang tinggi, cukup setakat tidak menggunakan bahasa pasar atau bercampur-aduk dengan bahasa lain.
  2. menjaga sifat malu dan kesopanan budaya Melayu. Bab-bab dalam kamar tidur yang menimbulkan syahwat (meskipun tidak memperincikan hubungan suami isteri itu sendiri) tidak sepatutnya ada dalam novel cinta Melayu. Kalau saya mahu baca adegan yang memberahikan, saya tidak cari novel Melayu.
  3. plot yang menarik. Terlalu banyak novel cinta yang mempunyai jalan cerita yang sama, seperti cinta Cinderella (antara si lelaki kaya dengan wanita miskin/sederhana), poligami dan kahwin tanpa rela.
  4. Kurang dari 400 mukasurat. Di zaman ini, tidak ada masa untuk baca novel cinta yang tebal-tebal.

Novel yang saya rasa mempunyai ciri-ciri di atas ialah novel ‘Lentera Mustika’ oleh Nisah Haron. Ia menelusuri kisah cinta Ainur Mustika, seorang profesor wanita muda dalam bidang sastera Melayu. Dengan banyaknya jejaka yang tampil menawarkan cinta, Ainur Mustika keliru. Saya suka cara dia menangani kekeliruan itu dengan memohon petunjuk dan bertawakkal kepada Tuhan. Jawapan tidak diperolehi serta-merta, tetapi di akhirnya dia mendapat petunjuk yang jelas dalam membuat pilihan.

Meskipun sinopsis di kulit buku membayangkan novel ini sebagai novel cinta, ada satu lagi dimensi cinta yang lebih ketara dalam buku ini, iaitu cinta pada budaya dan bangsa. Perjuangan Ainur Mustika melestarikan dan memartabatkan sastera Melayu diketengahkan dalam setiap babak. Melalui kisah hidup Ainur Mustika, pembaca tidak sahaja dapat menimba ilmu tentang sastera Melayu, tetapi juga belajar sedikit sebanyak tentang seni landskap Melayu, ukiran Melayu dan undang-undang kerajaan Melayu. Sebagai contoh, saya teruja membaca tentang undang-undang kerajaan Melaka dahulu.

“Taktik penjajah sangat licik. Dengan sengaja, banyak karya seperti Hukum Kanun Melaka dan Tajus Salatin tidak dikategorikan di bawah undang-undang. Semuanya diletakkan di bawah karya sastera klasik….

Sarjana undang-undang tidak mendapat peluang melihat teks itu dikaji dalam kuliah undang-undang….

Semua ini menjadikan sarjana tertentu menghukum bahawa Tanah Melayu tidak mempunyai undang-undang khusus. Kedatangan orang-orang Inggerislah yang kononnya membawa pembaharuan kepada sistem perundangan di tanah ini. Sedangkan seawal tahun 1400 lagi, Melaka sudah mempunyai tamadun sendiri lengkap dengan sistem politik, ekonomi dan juga undang-undangnya.”

(‘Lentera Mustika’ oleh Nisah Haron, p. 153)

Yang menariknya, terdapat banyak pantun dalam novel ini. Selain di permulaan setiap bab, pantun-pantun juga diselitkan sebagai bahagian penting dalam jalan cerita. Kebanyakan pantun-pantun dalam buku ini pula adalah pantun-pantun cinta. Ada sesuatu yang indah apabila cinta cuba diungkapkan melalui pantun. Kalau tidak percaya, cubalah mengutipnya untuk memikat hati si dia!

Teg:

Anda mungkin juga berminat...