Celaka bagi yang lalai?
“Tahukah kamu orang yang mendustakan agama?
Itulah orang yang mengherdik anak yatim.
Dan tidak mendorong memberi makan orang miskin.
Maka celakalah orang-orang yang solat,
(iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.
Yang berbuat riak
Dan enggan memberikan bantuan.”
(Q.S. Al-Maa’un [107]: 1-7)
Tegak bulu romaku membaca ayat Al-Quran ini. Adakah aku termasuk golongan yang celaka ini? Secara jujur, sebaik sahaja aku selesai takbirratul ihram, fikiranku akan melayang ke padang bola, pekan, tugasan sekolah, gadis idaman….
Dengan perasaan cuak, aku mencari tafsir surah Al-Maa’un. Menurut ahli tafsir, orang yang lalai dari solat bermaksud orang yang tidak menganggap serius tentang solat secara keseluruhan seperti melewat-lewatkan waktu mengerjakan solat demi melakukan tugas lain yang dianggap lebih penting. Alhamdulillah, jadual sekolah kami sudah menetapkan kami untuk solat tepat pada waktunya.
Pun begitu, sekiranya aku menganggap solat itu penting, sudah tentu aku akan menitik-beratkan segala-galanya tentang solat, termasuk kekhusyukan aku dalam solat. Tetapi, bagaimana hendak khusyukkan diri dalam solat? Ustazah tidak pernah ajar atau bincangkan pun dalam kelas. Yang kita belajar ialah fiqhnya. Rukun solat. Sunat dalam solat. Yang membatalkan solat.
Aku ajukan masalahku pada kawan-kawan dan guru-guruku. Ini kata mereka:
Hilangkan perkara-perkara yang boleh mengganggu konsentrasi seperti memasang mod senyap pada telefon bimbit, mencari tempat yang selesa dan sunyi untuk solat, dan makan dulu kalau lapar (ini nasihat Rasulullah s.a.w. !) ~ Manjazilla
Baca taa’wuz (A’udzubillahiminisyaithonirrojim) dan mohon pertolongan Allah untuk khusyuk dalam solat sebelum mendirikan solat. ~ Vermilion
Buat persediaan sebelum solat dengan bertasbih, menghayati azan dan memusatkan seluruh fikiran kepada tujuan hendak menghadap Allah s.w.t.. ~ Techie Qari
Semat rasa rugi yang amat sangat sekiranya solat kita ditolak ~ Aurora.
Baca dengan tenang dan perhatikan tajwid dalam bacaan kita semasa solat. ~ Cikgu Hojicha
Sebelum solat, bayangkan anda seperti seorang ninja dalam keadaan siap siaga, bersedia untuk menepis sebarang gangguan yang boleh menjejaskan konsentrasi semasa solat. ~Mat Saleh
Jadikan solat keutamaan harian
Nasihat panjang lebar yang Cikgu Espresso berikan amat bermakna:
Apabila kita hendak berjumpa seseorang yang penting, kita akan khususkan masa untuk temujanji dengannya dan akan memastikan tiada sesiapa atau apa-apa pun dibenarkan untuk mengganggu kita sepanjang kita berjumpa dengannya.
Samalah dengan solat. Atur jadual harian supaya ia berpusat pada solat. Setiap apa yang kita lakukan, tanya pada diri sendiri, apakah kesannya pada solat kita? Tidur lambat – bolehkah aku bangun untuk Subuh nanti? Rancangan televisyen ini, adakah ia akan membuat aku terlepas solat Maghrib? Terlalu asyik bermain video dari pagi ke petang, mampukah aku untuk tidak memikirkan tentangnya dalam solatku?
Berhenti melakukan apa-apa setelah masuk waktu. Tetapkan masa yang khusus untuknya -10 minit, 20 minit, 30 minit – dan jangan benarkan apa-apapun menggangu waktu itu. Ketepikan masa sebelum solat untuk buat persiapan seperti mana kita akan buat persiapan sebelum sebarang pertemuan, mesyuarat atau temuduga yang penting.
Mudah-mudahan, dalam kita menjadikan solat sebagai keutamaan harian kita, ia akan menambahkan kekhusyukan kita.
Tujuan solat
Kata Cikgu Dodol pula, sebelum kita tanya bagaimana hendak khusyukkan diri dalam solat, tanya dulu, kenapa kita solat?
Sebab malu dengan kawan-kawan dan cikgu?
Kerana dipaksa ibu bapa?
Kerana sudah jadi adat atau tabiat semasa kecil?
Lama aku renungkan perkara ini. Kenapa aku solat? Sudah tentunya kerana ia wajib, kalau tidak buat, berdosa. Dan aku tidak mahu berdosa. Tetapi adakah tujuan yang lebih baik selain itu?
Malam itu juga aku jumpa jawapannya. Allah s.w.t. berfirman,
“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”
(Q.S. Taha [20] : 14)
Tujuan solat juga boleh didapati dari makna solat itu sendiri. Perkataan صَلًّى datang dari perkataan صِلَة yang bermaksud hubungan. Solat adalah ibadah di mana kita berhubung langsung dengan Allah dan dekatkan diri kita semula kepada Allah setelah berjam-jam kita jauh dari Allah dek kesibukan dunia.
Jelas, solat adalah cara untuk aku mengingati Allah. Dalam kesibukan aku mengejar ilmu, mudah untuk aku alpa. Allah memberikan panduan bagaimana untuk aku kembali kepada-Nya, lima kali sehari. Kesedaran bahawa aku sedang berkomunikasi dengan Tuhanku sepatutnya menambahkan lagi kekhusyukanku dalam solat.
Hmm… macam-macam saranan yang aku dapat. Aku akan cuba beberapa petua pada satu-satu masa. Kalau hendak cuba semua sekaligus, terlalu banyak pula. Kawan-kawan pun cubalah!
~Sang Harimau~
Rujukan
Bayyinah Institute. (n.d.). Al-Baqarah (Ayah 221-242) – a concise commentary [Video]. Bayyinah TV Subscription.
Bayyinah Institute. (n.d.). Al-Maa’uun – a concise commentary [Video]. Bayyinah TV Subscription.
Hamka. (2022). Tafsir juz amma (Cetakan Kesembilan). PTS Publishing House.
Pahrol Mohamad Juoi (2021). Rehatkan hati dengan solat (Cetakan Kelima). Iman Publication.
Saliima Software. (2022). Al-Quran Indonesia –Tafsir & Per Kata (Version 2.1.2) [Mobile app]. Google Play Store. https://play.google.com/store/apps/details?id=com.edream.quran