Bolehkah hidup tanpa hiburan?
Hidup tanpa hiburan? Mustahil!
Sebaik sahaja pulang, aku mencapai peranti peribadiku. Mencari filem atau drama yang boleh ditonton. Setelah penat memerahkan otakku dan menghadapi tekanan di tempat kerja, aku mahu melupakan segala-galanya. Dan menontonlah cara yang paling mudah dan pantas untuk berbuat demikian. Aku kesuntukan masa. Kurang sepuluh jam, aku akan bangun dan ulangi sekali lagi rutin memerahkan otak dan menghadapi tekanan di tempat kerja. Menonton drama satu bentuk hiburan pasif yang tidak memerlukan aku memeras tenaga atau fikiranku, malah boleh dilakukan sambil berbaring!

Tanpa kusedari, apa yang aku lakukan perlahan-lahan membunuh jiwaku sambil membuatku lebih penat daripada sepatutnya. Ya, ia membantuku untuk melupakan tentang dunia ini dan segala tekanannya buat sementara serta memberi aku jalan untuk keluar dari rutin harianku yang membosankan. Tetapi setelah aku berhenti menghadapnya, bebanan hidup akan menyesakku lagi. Kepuasan? Siapa yang benar-benar puas setelah menikmati hiburan seperti itu? Apa yang aku rasakan adalah keinginan untuk menikmatinya lagi. Dan lagi. Dan lagi. Malah, untuk mengecapi nikmat yang sama tinggi seperti sebelum ini, aku memerlukan hiburan yang lebih lucah, lebih ganas, lebih ‘menyeronokkan’. Kadar keganasan dan kelucahan sebelumnya tidak lagi mencukupi untuk aku merasai kenikmatan yang sama.
Natijahnya, hiburan yang aku hadam setiap hari membuatku lalai daripada mengingati Tuhan dan menambahkan dosaku. Lama kelamaan, jiwaku merasa semakin kosong. Akhirnya, ia membawa kepada kemurungan. Kerana tiada apa-apa lagi yang dapat aku lakukan untuk memberikanku keseronokan.
Jadi, adakah ini bermakna aku tidak boleh berhibur?
Sebagai manusia, kita juga perlu berehat dari bebanan dan tanggungjawab harian kita. Hiburan adalah salah satu caranya untuk kita mencari keseimbangan dan mengurangkan ketekanan. Sayangnya, sebahagian besar hiburan yang sedia ada sekarang tidak bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam. Natijahnya, ia lebih merosakkan daripada mendamaikan, kerana bertentangan dengan fitrah psikilogi kita.
Hiburan dalam bentuk video banyak mengandungi perkara-perkara syirik, ganas atau membangkitkan syahwat. Hiburan dalam bentuk bacaan pun begitu. Tidak kiralah sama ada hiburan itu dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain, termasuk bahan hiburan dalam bahasa Melayu. Hiburan dalam bentuk permainan tidak terkecuali, malah juga boleh mengandungi unsur-unsur buruk yang lain seperti perjudian, penipuan, atau menggalakkan sifat-sifat buruk seperti pembulian di kalangan para pemain.
Hiburan yang lebih baik dan bersesuaian dengan prinsip Islam memang ada. Berkarya melalui tulisan, lukisan atau jahitan boleh merehatkan minda. Bermain permainan papan (board games) bersama keluarga atau kawan-kawan lebih baik daripada bermain permainan komputer seorang diri kerana kurang peluang untuk bermain permainan yang mempunyai unsur-unsur negatif jika ada mata orang lain yang melihat. Bagi mereka yang suka aktiviti fizikal, boleh bersukan, mendaki bukit, beriadah di taman atau tepi pantai. Oleh itu, kalau anak kita memang suka bermain bolasepak, janganlah asyik memarahinya sahaja, ya? Lebih baik dia pergi bermain bola daripada dia duduk di rumah seharian menonton video atau memain permainan lucah. Malah, jika kita dapat bermain bolasepak dengannya, lagi bagus. Dapat berhibur, sekaligus mengeratkan silaturrahim.
Namun demikian, hiburan menggunakan peranti seperti menonton video, bermain permainan video ataupun membaca masih lebih popular jika dibandingkan dengan jenis hiburan yang disebut di atas. Ini kerana ia amat mudah diakses, tidak memerlukan banyak tenaga atau masa untuk mencapainya, dan memberikan keseronokan yang lebih tinggi.
Tidak dapat dinafikan, sukar untuk membuang tabiat untuk mencari bahan hiburan sedemikian. Lebih-lebih lagi apabila sudah ketagihan.
Aku tidak tahu bagaimana dan bila aku menyedari bahawa bentuk hiburan yang aku nikmati selama ini sebenarnya meracun jiwaku dan antara penyebab kemurunganku. Tetapi aku amat bersyukur kerana Allah telah memberikan kesedaran itu kepadaku. Kesedaran itu membuatku menanam azam untuk menyingkir tabiat burukku.
Untuk terus membuang tabiat membaca atau menonton video yang ‘menyeronokkan’ di peranti sebagai cara berhibur, tidak aku mampu. Lebih-lebih lagi, aku tidak suka keluar rumah atau bersukan dan aku tidak mempunyai ahli keluarga atau kawan-kawan yang mahu bermain permainan papan denganku.
Di samping itu, pilihan bentuk hiburan yang lebih Islami amatlah terbatas. Drama, novel atau permainan video yang menarik tidak semestinya memerlukan adegan-adegan yang syubhah atau haram. Plot yang menarik, perwatakan yang dibangun dengan baik, pemandangan indah sebagai laterbelakang atau animasi yang cantik masih boleh menarik peminat penonton meskipun mempunyai unsur-unsur Islami. Sayangnya, bahan hiburan sedemikian tidak banyak. Walaupun Upin dan Ipin sangat comel, kalau itu sahaja yang aku tonton, lama-kelamaan boleh bosan juga.
Apa yang aku lakukan ialah mencari bahan hiburan yang kurang unsur-unsur haramnya. Mula-mula, aku cuba mencari bahan bacaan atau drama yang kurang unsur keganasan dan lucah. Kemudian, aku cuba pula mengelaknya sama sekali. Daripada membaca buku untuk orang dewasa atau remaja, aku mencari buku-buku untuk kanak-kanak. Daripada menonton filem atau drama yang dinilai NC-16 atau R, aku cari filem yang lebih ditujukan pada kanak-kanak. Lama-kelamaan, aku mengelak daripada menonton filem atau drama sama sekali. Aku habiskan masaku dengan rancangan seperti pertandingan memasak atau program menghiasi rumah. Aku juga cuba mengurangkan masa aku menonton atau membaca.
Tetapi terus terang aku katakan, sangat payah untuk kurangkan bentuk hiburan yang aku sudah bertahun-tahun nikmati. Perubahan tidak berlaku dengan sekelip mata. Sekali-sekala aku tergelincir juga. Sama ada aku terjerumus menonton drama berjam-jam lamanya hingga ke dinihari, ataupun aku terjerumus menonton sesuatu yang mempunyai unsur-unsur haram. Dalam saat-saat sebegitu, aku lupa azamku. Kadang-kala, aku berputus asa, dan menyoal diriku, adakah usahaku ini berbaloi?
Setelah bertahun-tahun berperang dengan diriku, aku dapat menjawab soalan itu. Ya, usahaku amat berbaloi. Jika dahulu, setiap kali aku terjerumus dan cuba kembali ke pangkal jalan, aku akan merasa gian. Untuk meninggalkan tabiat burukku terasa amat sukar. Namun, kini, setiap kali aku sedar akan kesilapan setelah terjerumus seketika, aku akan rasa bersalah dan jijik terhadap apa yang aku pernah menghadap dahulu. Selagi aku masih hidup, peluang untuk aku terjerumus ke dalam kemaksiatan masih ada. Tetapi aku akan terus berusaha. Aku teringat firman Allah dalam Al-Quran:
“Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya ia amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. (Iaitu) orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.”
(Q.S. Al-Baqarah[2]: 45-46)
Selagi mana aku istiqamah dalam solatku dan terus berusaha dengan sabar, aku yakin, walaupun aku tergelincir sekali-sekala, aku akan dapat kembali ke jalan yang lurus, dengan izin Allah.
Mungkin kita beranggapan, mustahil untuk kita hidup tanpa hiburan yang tidak mempunyai unsur-unsur kemaksiatan. Percayalah, jika kita berusaha untuk mencari hiburan alternatif yang lebih baik, kita akan menjumpainya. Di masa yang sama, kita akan menyedari bahawa apa jua bentuk hiburan di dunia ini hanya memberikan kita kepuasan dan keseronokan yang sementara. Kepuasan yang kekal dan hakiki hanya akan dapat kita nikmati di syurga nanti.
“Inilah yang dijanjikan kepadamu, (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturannya). (Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan dan dia datang dengan hati yang bertaubat. Masukilah syurga dengan aman, itulah hari kekekalan. Mereka memperoleh apa yang mereka kehendaki di dalamnya dan pada sisi Kami ada lagi tambahan.”
(Q.S. Qaaf[50]: 32-35)
~Q~