Bicara Allah dalam Al-Fatihah
Bayangkan Allah tidak mahu berbicara dengan kita. Apakah perasaan kita ketika itu?
Sudah tentu ia adalah keadaan yang amat menyedihkan dan sukar dibayangkan. Tetapi itulah hakikatnya bagi ahli neraka.
Di dunia ini, kita boleh berbicara dengan Allah pada bila-bila masa. Bukankah di dalam ayatul kursi Allah SWT berfirman bahawa Dia tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur? Apabila kita menghadapi masalah, kita luahkan hati kita kepada Allah dan memohon pertolongan-Nya. Apabila kita gembira, kita ucapkan kesyukuran dan kegembiraan kita kepada-Nya.
Malah, Allah telah mengajar kita cara istimewa untuk berhubung dengannya iaitu melalui solat. Sebagai hamba, kita sepatutnya menghargai ibadah khusus yang sangat penting ini. Tahukah kawan-kawan, Allah menjawab setiap ayat yang kita bacakan dalam surah Al-Fatihah ketika solat? Dalam sebuah hadis Qudsi,
Abu Hurairah RA meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang mendirikan solat, sedangkan dia tidak membaca Ummul Qur’an (Al-Fatihah), maka solatnya telah cacat (Rasulullah SAW mengatakan ini sebanyak tiga kali), tidak sempurna.”
Abu Hurairah RA disoal, “(Tetapi) kami solat di belakang imam?”
Abu Hurairah RA menjawab, “Bacalah (surah Al-Fatihah) sendiri-sendiri. Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Allah SWT berfirman, “Aku telah membahagikan As-Solah (nama lain bagi surah Al-Fatihah) kepada dua bahagian antara Aku dan hamba-Ku. Untuk hamba-Ku apa yang dia pohon.”
Apabila seorang hamba membaca, “Segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam (Al-Fatihah: 2),” Allah SWT menjawab, “Hamba-Ku telah memuji-Ku.”
Apabila dia membaca, “Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang (Al-Fatihah: 3),” Allah SWT menjawab, “Hamba-Ku telah memuliakan-Ku.”
Apabila dia membaca, “Yang Menguasai Hari Pembalasan (Al-Fatihah: 4),” Allah SWT menjawab, “Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku. Hamba-Ku telah menyerahkan segala urusan kepada-Ku.”
Apabila dia membaca, “Hanya Engkau kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami pohon pertolongan (Al-Fatihah: 5),” Allah SWT menjawab, “Inilah dia antara-Ku dan hamba-Ku. Untuk hamba-Ku apa yang dia pinta.”
Apabila dia membaca, “Tunjukilah kami jalan yang lurus (Al-Fatihah: 6). Jalan mereka yang Engkau beri nikmat, bukan mereka yang Engkau murkai, dan bukan pula mereka yang sesat (Al-Fatihah: 7),” Allah SWT menjawab, “Inilah antara-Ku dan hamba-Ku. Buat hamba-Ku apa yang dia pinta.”
Sufyan berkata, “ ‘Ala b. ‘Abd al-Rahman bin Ya’qub menceritakannya kepada saya ketika saya pergi kepadanya dan dia dikurung di rumahnya kerana sakit, dan saya bertanya kepadanya.”
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, hadis no: 395]
Sungguh indahnya bicara Allah kepada kita! Pasukan rihlah telah membuat sebuah poster untuk mengingatkan kawan-kawan tentang bicara Allah dengan kita ini. Semoga ia dapat membuat kawan-kawan lagi khusyuk dalam solat!
Hargailah saat-saat kita berhubung dengan Allah dan berbicara dengan-Nya dan mohonlah agar kita tidak termasuk golongan ahli neraka di mana kita tidak akan dapat menemui dan berbicara dengan Allah buat selama-lamanya.
~Vermilion~