arrow_upward

Rabiulawal/Rabiulakhir
Isu 03-2

Bahasa Melayu dan Al-Quran

Dalam zaman di mana bahasa Inggeris telah menakluki ruang komunikasi, semakin ramai anak muda Melayu yang tidak lagi fasih dalam bahasa Melayu. Aku bersyukur kerana keluargaku masih menitik-beratkan pembelajaran bahasa Melayu. Ini memberikan aku kelebihan untuk menghafal makna ayat-ayat dalam Al-Quran.

Pinjaman perkataan Melayu dari Bahasa Arab

Pertama, kerana bahasa Melayu berkembang setelah datangnya pedagang Arab ke Nusantara menyebarkan agama Islam, banyak perkataan dalam bahasa Melayu dipinjam dari bahasa Arab, lebih-lebih lagi perkataan yang berkaitan dengan agama. Menurut Ustaz Rusdi Alias, seorang pengajar bahasa Arab, 30% perkataan dalam Al-Quran dirangkumi perkataan yang sama dalam Bahasa Melayu1. Satu kajian oleh Noor Azlina Zaidan2 dan rakan-rakan juga mendapati bahawa 1005 perkataan dalam Kamus Dewan yang sering digunakan, adalah pinjaman dari bahasa Arab.

Apabila aku mula menghafal makna di sebalik setiap perkataan dalam bacaan solat, aku dapati aku sudah tahu beberapa perkataan kerana kemiripannya dengan perkataan bahasa Melayu. Cuba lihat ayat daripada doa iftitah dalam rajah ini:

Lebih daripada separuh ayat ini mempunyai perkataan Melayu, iaitu,  صَلاَتِ (solat), حْيَا (hayat), مَاتِ  (mati),  رَبِّ(rabb/tuhan) dan عَالَمِ (alam).

Doa yang kita baca di antara duduk dua sujud juga begitu:

Jika diamati betul-betul, perkataan Melayu yang diambil daripada perkataan Arab ialah رحم (rahmat), رزق (rezeki), هدى  (hidayah) dan عفية (afi’at)

Terjemahan Prakata Al-Quran lebih mudah disesuaikan dengan penyusanan ayat Bahasa Melayu

Apabila aku menghafal Al-Quran, aku suka melihat dan menghafal makna setiap perkataan. Ini kerana banyak perkataan diulang. Bermakna, apabila aku menghafal ayat yang lain, aku sudah tahu beberapa perkataan. Meskipun kadang kala terjemahan prakata menyebabkan sesuatu ayat itu berbunyi agak janggal, aku dapati lebih mudah menerima penyusunan kata yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris. Penyusunan ayat bahasa Melayu yang banyak persamaan dengan penyusunan ayat Al-Quran memudahkan aku untuk mengaitkan perkataan-perkataan untuk menjadi satu frasa, kemudian satu ayat.

Upamanya, dalam menterjemahkan setiap perkataan bahasa Arab kepada bahasa Inggeris, banyak perkataan memerlukan kata kerja tambahan seperti ‘is’. Sesuatu perkataan yang menidakkan atau menafikan pula kadang kala tidak boleh diterjemah secara langsung dalam bahasa Inggeris tetapi memerlukan penyusunan semula ayat tersebut. Cuba bandingkan terjemahan dua frasa pertama ayatul kursi dalam bahasa Melayu (biru) dan bahasa Ingggeris (kuning) ini:

Dalam frasa pertama, terjemahan bahasa Melayu

‘Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Hidup, terus menerus mengurus,’

mudah difahami tanpa memerlukan apa-apa tambahan.  Sebaliknya, terjemahan bahasa Inggeris

‘Allah, no God except him the EverLiving, the Sustainer of all that exists’

 memerlukan tambahan ‘there is’ di hadapan ‘no’ supaya ayat tidak berbunyi terlalu kekok.

Dalam frasa kedua, terjemahan bahasa Melayu

‘Tidak menimpa-Nya kantuk dan tidak tidur’

masih mudah diterima. Sebaliknya, terjemahan prakata bahasa Inggeris

‘Not overtakes him drowsiness and not sleep’

pada aku berbunyi janggal, seperti tulisan sastera lama atau sebuah puisi. Ayat itu perlu disusun semula supaya lebih mudah dibaca:

‘Neither sleep nor drowsiness, overtakes Him’.

Anda boleh lihat perbandingan terjemahan bahasa Melayu dan Inggeris untuk seluruh ayatul kursi, di sini:

Tafsir Melayu oleh penulis Melayu

Ketiga, aku dapati lebih seronok, mudah dan bersemangat untuk hafal Al-Quran setelah aku mendalami dan memahami ayat-ayatnya. Kitab-kitab tafsir membantu aku untuk berbuat demikian. Kerana aku tidak pandai bahasa Arab, aku hanya mampu membaca kitab-kitab mahsyur seperti Tafsir Ibnu Kathir atau Tafsir Jalalyn yang sudah diterjemahkan. Di sinilah aku sangat-sangat menghargai sumbangan para ulama Melayu dahulu. Mereka bukan sahaja telah menterjemahkan tafsir-tafsir mahsyur ini ke dalam bahasa Melayu, tidak kurang juga yang telah menulis tafsir Al-Quran dalam bahasa Melayu seperti Tafsir Al-Azhar, Tafsir Nurul Ihsan dan Tafsir ‘Abr al-Athir3. Penguasaan aku dalam bahasa Melayu telah memberikan aku peluang untuk merujuk lebih banyak kitab tafsir dan meluaskan lagi pemahaman aku tentang sesuatu ayat, lantas memudahkan lagi aku menghafal Al-Quran dan maknanya.

Kepada kawan-kawan yang berazam untuk mendekati, memahami dan menghafal Al-Quran, janganlah sia-siakan kemahiran bahasa Melayu yang sedia ada. Sebaliknya, hargailah kelebihan yang kita ada kerana kita berbangsa Melayu.

~Techie Qari~

Rujukan

1 Ustaz Rusdi Alias. (2023, Julai 20). Kenapa Perlu Belajar Bahasa Arab? [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=FyyDSTKYVfI

2 Zaidan, N. A., Zailaini, M. A., & Ismail, W. M. (2015). Absorption of Arabic words in Malay language. Oida International Journal on Sustainable Development8(6). https://oidaijsd.com/wp-content/uploads/2019/02/08-03-05.pdf

3 Pauzi, N. S. & Ibrahim, R. A. (2012, Dec 11-12). Sumbangan ulama Melayu terhadap ilmu tafsir di alam Melayu: suatu pengenalan [Paper Presentation]. The 9th Regional Symposium of The Malay Archipelago, Perak, Malaysia. https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/50871/

Bayyinah Institute. (n.d.). Al-Baqarah (Ayah 253-256) – a concise commentary [Video]. Bayyinah TV Subscription.

Quran word by word translation, transliteration and corpus. (n.d.). https://quranwbw.com/2#255

Saliima Software. (2022). Al-Quran Indonesia –Tafsir & Per Kata (Version 2.1.2) [Mobile app]. Google Play Store. https://play.google.com/store/apps/details?id=com.edream.quran

Teg:

Anda mungkin juga berminat...