arrow_upward

Rabiulawal/Rabiulakhir
Isu 03-2

Bahasa Jiwa Bangsa

Acap kali kita mendengar pencinta bahasa Melayu mengeluh kerana generasi anak Melayu sekarang tidak fasih berbahasa Melayu. Walaupun keluhan ini turut didengari oleh pencinta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Sepanyol dan sebagainya, ia tetap satu fenomena yang membimbangkan kerana hilangnya bahasa bererti hilangnya budaya dan akhirnya hilanglah bangsa.

Bangsa Yang Sopan dan Santun

Bahasa Melayu menunjukkan kesantunan dan kesopanan orang Melayu. Apabila Islam mula bertapak di Tanah Melayu, pengaruh Islam membentuk peribadi ini. Sehingga sekarang, banyak penerbitan Melayu masih mengikut tatasusila budaya Melayu dahulu. Bacalah buku cerita Inggeris atau tonton filem Inggeris masa kini, anda pasti tidak dapat mengelak daripada menemui adegan yang melanggar syariat seperti bercumbuan, adegan ganas ataupun perkara yang mempunyai unsur-unsur syirik, hatta dalam media yang ditujukan untuk praremaja. Sebaliknya, alhamdulillah, kebanyakan novel, drama dan filem Melayu masih suci daripada ciri-ciri negatif sedemikian. Rata-rata masyarakat Melayu masih menolak budaya yang terlalu bebas dan bertentangan dengan ajaran Islam dalam bahan hiburan mereka.

Amat sayang sekali, budaya yang begitu tinggi ini semakin diketepikan, walhal ramai di luar sana, yang beragama Islam mahupun bukan, tercari-cari media yang lebih bersih dan santun. Dan orang Melayu amat arif dalam menyediakan media sedemikian.

Bangsa Yang Berjiwa Seni

Jika kita melihat kepelbagaian dalam budaya Melayu, kita tidak boleh nafikan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang berjiwa seni. Dari sudut kesusasteraan sahaja orang Melayu mempunyai pelbagai bentuk seni seperti pantun, peribahasa, sajak, syair, gurindam, seloka, hikayat dan sebagainya. Seni persembahan Melayu juga banyak bergantung kepada keindahan dan ketangkasan menyusun kata-kata, umpamanya dalam dikir barat. Di samping itu, orang Melayu dahulu memang arif memilih kata-kata sehinggalah terciptanya ungkapan-ungkapan yang indah, berfalsafah dan sarat dengan bermakna berlatarkan ilham dari pengamatan terhadap alam.

Bangsa Yang Sentiasa Mendidik

Pendidikan, terutamannya dalam pembentukan peribadi yang luhur dan berbudi, adalah sesuatu yang amat penting bagi bangsa Melayu. Orang Melayu dahulu tidak bergantung kepada sebuah institusi seperti sekolah untuk mendidik anak-anak mereka. Pendidikan berlaku di mana-mana dalam kehidupan seharian. Melalui ungkapan-ungkapan yang indah, nilai-nilai luhur budaya Melayu dapat disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain. Ini dapat dilihat dari peribahasa yang sentiasa digunakan dalam pertuturan seharian, cerita-cerita rakyat yang kadang-kala dibuat persembahan atau pantun yang dinyanyikan kepada anak-anak, seperti pantun nasihat ini:

Pulau Pandan jauh ke tengah,

  Gunung Daik Bercabang Tiga;

Hancur badan dikandung tanah,

  Budi yang baik dikenang jua.

Inilah antara nilai-nilai murni yang kita dapat ketemui dalam bangsa orang Melayu, yang juga diutamakan dalam ajaran Islam.

Tanggungjawab Melestarikan Bahasa

Pokoknya, jika bahasa Melayu pupus, dunia juga akan kehilangan budaya dari sebuah bangsa yang mempunyai ciri-ciri yang disebut di atas. Untuk membuang bahasa ibunda seolah-olah menolak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Lebih-lebih lagi apabila bahasa itu mudah dipelajari dan berkait rapat dengan budaya indah yang banyak mempunyai unsur-unsur Islam.

Kami harap isu kali dapat menggalakkan para pembaca menyelami bahasa dan budaya Melayu dan bersemangat untuk melestarikannya.

~Editor~

Rujukan

Effendy, Tenas. (2012). Ungkapan Melayu: pemahaman dan masalahnya. Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura.

Supaat, J. (2009, July).Pantun: sumber rujukan sosiobudaya masyarakat Melayu. biblioasia. https://biblioasia.nlb.gov.sg/vol-5/issue2/jul-2009/pantun-sumber-masyarakat-melayu/

Gambar Muka Hadapan: Official Website of The Ministry of Public Works Indonesia, Public domain, via Wikimedia Commons

Teg:

Anda mungkin juga berminat...