arrow_upward

Muharram/Safar
Isu 02-1

Kenapa aku masih bermain

Anak mana yang lebih mungkin dimarahi – anak yang dilihat sedang membaca atau anak yang bermain permainan di telefon bijak? Permainan video atau aplikasi permainan mudah alih (app mobile games) mempunyai imej negatif kerana dianggap melalaikan, membuang masa, kadang-kala memberi kesan yang buruk kerana ada unsur-unsur ganas atau lucah. Akan tetapi, banyak buku-buku yang ada di pasaran juga mempunyai ciri-ciri yang sama. Filem-filem di panggung wayang atau drama di televisyen pun mempunyai masalah yang sama. Apapun aktiviti yang dibuat pada waktu senggang atau semasa bosan, pasti berkemungkinan mempunyai ciri-ciri negatif. Padaku, salahnya bukan pada jenis aktiviti itu tetapi pada pilihan bahan itu sendiri, sama ada mempunyai unsur negatif atau tidak.   

Memang benar, rata-rata aplikasi permainan mudah alih direka oleh mereka yang bukan Muslim. Oleh itu, ia sedikit sebanyak ada beberapa aspek yang kalau temanku Manjazilla tahu, serta-merta dia akan kata, “HARAM!” Dan kalaupun permainan itu sendiri tidak mempunyai unsur-unsur haram, kadang-kala iklan yang dipaparkan bagi permainan versi percuma mungkin menunjukkan perkata-perkara yang tidak menyenangkan.

Jangan salah sangka. Rencana ini bukan bertujuan untuk menggalakkan kawan-kawan bermain permainan video. Sekiranya kawan-kawan memang tidak pernah bermain ataupun sudah berhenti bermain, baguslah. Alhamdulillah. Teruskan dengan usaha kawan-kawan itu. Mudah-mudah aku dan kawan-kawan yang lain akan capai ke tahap itu satu hari nanti. Tetapi bagi mereka yang masih berusaha untuk berhenti, semoga lebih berhati-hati dalam memilih aplikasi permainan untuk dimain.

Gambar: Onur Binay

Di sekolah berasramaku, kami tidak dibenarkan untik bermainan permainan video sama sekali. Rangkaian internet di sekolah terbatas dan laman-laman yang kami kunjungi dipantau. Peranti yang dipinjamkan kepada setiap pelajar hanya boleh digunakan untuk tugasan sekolah dan tiada sesiapa boleh memuat turun sebarang aplikasi tanpa kebenaran guru. Para guru juga sekali sekala akan membuat pemeriksaan mengejut ke atas peranti kami untuk memastikan kami tidak gunakannya untuk perkara yang tidak patut.

Walaupun begitu, aku tidak tinggal di asrama sekolah sepanjang masa. Setiap hujung minggu, aku akan pulang ke rumah. Di rumah, aku mempunyai telefon pintarku (smartphone) sendiri di mana aku berpeluang untuk bermain aplikasi permainan mudah alih. Aku tahu, pihak sekolah menasihati semua ibu bapa untuk memantau kegiatan anak-anak mereka di rumah dan tidak menggalakkan mereka bermain permainan sedemikian. Akan tetapi ibu bapaku tidak begitu kisah tentang perkara itu dan hanya membiarkan aku sahaja. Lebih-lebih lagi kerana mereka sibuk dengan urusan masing-masing dan tidak ada masa untuk melayanku. Begitu juga kakak dan abangku. Lebih mudah untuk membenarkan aku bermain di telefon pintarku supaya aku tidak asyik mengeluh dan mengganggu mereka untuk mendapatkan perhatian kerana bosan. Aku pula tidak berminat untuk lepak dengan kawan-kawan lamaku di pusat membeli-belah sambil berbual-bual kosong atau mengacau orang lain. Lebih senang dan seronok kalau ditemani permainan mudah alih.

Ramai remaja lain seperti aku. Selain untuk menghilangkan rasa bosan, permainan video juga memberikanku kepuasan. Ada sesuatu yang membuatku rasa bahagia seketika melihat grafik makanan dan perabot berwarna-warni serta comel dalam ‘kafe’ku di Food Street. Atau berasa puas apabila berjaya mencapai tahap  demi tahap dalam permainan logika di Delicous B&B: Decor and Match 3. Lebih seoronok juga mengikuti jalan cerita dan cuba meneka pembunuh sebenar di Murder in Alps: Hidden Mystery, daripada membaca buku yang tiada ilustrasi atau animasi.

Walaupun begitu, terus terang aku katakan, aku amat bersyukur kerana sekolahku tidak membenarkan aku bermain permainan video di sekolah. Jika dibandingkan kehidupanku di sekolah dengan masaku di rumah, aku rasa masaku lebih seronok di sekolah kerana aku punya banyak kegiatan bersama teman-temanku yang lebih menghiburkan daripada interaksiku dengan sebuah peranti yang tidak bernyawa. Aku juga rasakan masaku lebih berisi dengan perkara-perkara yang lebih bermakna. Namun aku belum cukup kuat atau berdisiplin lagi untuk melepaskan permainan videoku semasa di rumah. Mudah-mudahan ia akan berubah pada satu hari nanti.

~Bima Sakti~

Sumber Rujukan

Reeves, B. (2020, Nov 20). Why we play: How our desire for games shape our world. GameInformer. https://www.gameinformer.com/b/features/archive/2012/11/20/why-we-play-how-our-desire-for-games-shapes-our-world.aspx

Teg:

Anda mungkin juga berminat...