arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 03-3

Aplikasi Menjejak Penggunaan

Berapa lama anda menggunakan telefon pintar anda setiap hari? Ramai orang akan menyangka angka masa kurang daripada yang sebenarnya. Aplikasi menjejak penggunaan (app usage tracker) boleh menunjukkan berapa jam sebenarnya seseorang melayari laman sesawang, menonton video atau menatal catatan di medial sosial. Berikut kami kongsi aplikasi-aplikasi yang telah kami cuba untuk para guru dan ibu bapa pertimbangkan untuk mengawasi dan mungkin mengawal penggunaan peranti anak-anak mereka (atau diri sendiri).

Perbandingan ringkas ciri-ciri utama







YourHourStayFreeUsageAnalyzerSocialFeverMyPhoneTime
PerantiTablet & TelefonSemua jenisTablet & TelefonTelefon sahajaTelefon sahaja
Data HarianJumlah sehariJumlah sehari
/ setiap jam
Purata (average)Jumlah & PurataJumlah sehari
Penggunaan Tertinggi
Iklan
Had penggunaan
Kawalan akses
Senang digunakan

Secara keseluruhan, kesemua aplikasi yang kami kongsi di sini menjejak aplikasi mana yang paling lama atau paling banyak digunakan. Ini boleh memberi gambaran sama ada peranti digunakan untuk perkara yang berfaedah atau lebih banyak digunakan untuk perkara yang sia-sia. Perbezaan antara mereka ialah berapa terperincinya data yang diberikan dan betapa mudahnya untuk menggunakan aplikasi penjejak tersebut.

YourHour oleh Mindefy Labs

Pautan: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.mindefy.phoneaddiction.mobilepe&hl=en_IN&gl=US

Penggunaan

Sebaik sahaja anda membuka aplikasi ini, anda dapat melihat sepintas lalu berapa banyak waktu yang anda ada untuk terus menggunakan peranti anda berdasarkan matlamat harian yang anda tetapkan. Gambar di sini menunjukkan ada 53 minit lagi daripada satu jam penggunaan yang telah dihadkan. Sekilas pandang, anda juga boleh melihat apakah aplikasi yang paling banyak anda gunakan.

Pada permulaannya, tidak begitu rumit untuk memilih aplikasi mana yang ingin anda jejak. Anda juga mempunyai pilihan untuk meletakkan had secara terperinci bagi setiap aplikasi jika anda mahu.

Ciri-ciri yang memudahkan / bagus

Di muka depan, apabila anda menatal (scroll) ke bawah, masa penggunaan seharian boleh dibaca dengan mudah kerana ia berbentuk carta. Dari sini juga boleh dilihat sama ada penggunaan melebihi had yang telah  ditetapkan.

Satu lagi ciri yang baik ialah data naik turun penggunaan telefon dari ke hari dalam bahagian laporan (reports). Peratusan dalam warna merah menunjukkan peningkatan manakala peratusan dalam warna hijau menujukkan bahawa penggunaan telah menurun.

Jika anda klik ‘Most Used App’ anda akan dibawa ke senarai semua aplikasi yang dijejak dengan aplikasi yang paling banyak digunakan di atas. Namun, hati-hati dalam memahami data ini kerana masa yang ditunjukkan adalah masa purata sepanjang 7 hari dan bukan jumlah keseluruhan dalam sehari.

Ciri-ciri yang tidak memuaskan / tidak diperlukan

Anda boleh memilih untuk mengaktifkan pemasa terapung atau floating timer yang menunjukkan perjalanan masa pada tiap-tiap aplikasi yang dibuka. Gambar di sini menunjukkan pemasa semasa aplikasi Chrome dibuka. Namun, kami mendapati ciri ini melambatkan penggunaan aplikasi beberapa saat.

Versi percuma aplikasi ini juga mempunyai iklan di bawah. Walaupun kecil, kadang-kala rasa terganggu lebih-lebih lagi iklan yang tidak statik. Untuk melihat laporan mingguan juga memerlukan anda menonton iklan untuk beberapa saat.

Ciri-ciri bonus

Aplikasi ini bertujuan untuk membantu sesiapa yang ketagihan telefon bijak. Oleh itu, ia mempunyai banyak ciri-ciri yang membantu pengguna untuk atasi ketagihan. Kata-kata perangsang dan nasihat boleh didapati di muka depan dan juga di notifikasi telefon anda jika anda mengaktikkannya. Aplikasi ini juga akan memberitahu tahap mana ketagihan anda berdasarkan data yang dikumpul. Pengguna juga boleh menyahut cabaran-cabaran yang diberikan untuk mengurangkan penggunaan telefon atau aplikasi yang dicadangkan. Di bahagian ‘Stories’, anda boleh membaca kisah-kisah inspirasi dari mereka yang sedang cuba mengatasi ketagihan.

Ciri bonus lain ialah anda boleh menetapkan nombor PIN untuk bahagian tetapan (settings). Oleh itu, jika anda meletakkan had pada aplikasi tertentu, anak anda tidak boleh mengubahnya tanpa nombor PIN tersebut.

Rumusan

Secara ringkas, ciri-ciri utama aplikasi ini mudah dipelajari dan digunakan.Terdapat banyak lagi ciri-ciri yang kami tidak sempat cuba tetapi ciri-ciri bonus untuk membantu sesiapa mengatasi ketagihan agak menyeluruh. Jika anda perlukan bantuan untuk mengatasi ketagihan telefon bijak anda, anda boleh pertimbangkan aplikasi ini.

Stay Free App oleh StayFree Apps

Pautan: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.burockgames.timeclocker

Penggunaan

Dari permulaan, aplikasi ini akan hanya menjejak aplikasi yang dibuka dan digunakan. Aplikasi yang anda tidak pernah gunakan tidak akan dijejak.

Ciri-ciri yang memudahkan / bagus

Sepintas lalu, banyak data boleh diperolehi di muka depan. Rekabentuknya kemas dan mudah untuk membaca data seperti carta penggunaan setiap jam, jumlah masa anda menggunakan setiap aplikasi dan jumlah keseluruhan penggunaan telefon. Turut disediakan pilihan untuk melihat data untuk jangka waktu tertentu, umpamanya jumlah masa untuk bulan Julai mengikut minggu.

Bukan sahaja aplikasi yang anda gunakan boleh dijejak, setiap laman sesawang yang anda kunjungi juga boleh dijejak. Ini amat berguna untuk menilai berapa lama anda mengunjung sesuatu laman untuk tujuan belajar atau bekerja dan berapa lama anda membuang masa melayari laman yang tidak berfaedah.

Jika anda klik sesuatu aplikasi atau laman sesawang, anda akan dibawa pada perincian penggunaan bagi aplikasi atau laman tersebut.

Jika ada aplikasi atau laman yang anda tidak mahu jejak, senang sahaja untuk membuangnya dari senarai melalui Settings -> Usage Limits & Tracking -> Ignore List.

Anda juga boleh memilih untuk hubungkan data antara semua peranti anda – komputer, tablet dan telefon.

Ciri-ciri yang kurang memuaskan / tidak diperlukan

Terlalu banyak jenis notifikasinya yang boleh diaktifkan sehingga ia mengelirukan, notifkasi manakah yang anda inginkan. Kami juga rasa notifikasinya tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Ada notifikasi yang kami pilih untuk tidak aktif tetapi ia tetap keluar. Kami dapati hanya ada dua pilihan: sama ada anda aktifkan semua notifkasi, atau anda tutup semua notifikasi.

Satu ciri yang aplikasi ini ada ialah ia membolehkan anda senaraikan perkataan-perkataan yang anda tidak mahu pengguna cari atau gunakan semasa melayari internet. Namun, ia hanya boleh diaktifkan paling lama tiga jam. (Mungkin perlukan versi premium jika mahu aktifkannya lebih lama). Sekiranya seorang pelajar menaip perkataan itu, dia akan mendapat mesej bahawa dia telah menaip perkataan terlarang. Pelajar kemudian boleh memilih untuk keluar dari aplikasi itu atau nyahaktifkan larangan tersebut. Akibatnya tidaklah begitu buruk dan tidaklah akan menjadi penghalang yang besar bagi pelajar untuk terus menaip perkataan tersebut. 

Ciri-ciri bonus

Seperti yang dikatakan sebelum ini, anda boleh menjejak setiap laman sesawang yang dikunjungi. Kebanyakan aplikasi hanya menjejak aplikasi yang digunakan, seperti Chrome, tetapi tidak menjejak setiap laman secara khusus.

Ada beberapa ciri yang sukar untuk fahami tujuannya atau cara penggunaannya. Tetapi usah khuatir! Anda bolek klik ikon tanda tanya di sebelahnya untuk menonton video yang mengajar anda tentangnya

Seorang ibu, bapa atau guru boleh juga mengenakan had penggunaan aplikasi atau laman sesawang tertentu dan menetapkan nombor PIN supaya anak-anak tidak boleh mengubah had penggunaan tersebut. Ini amat berguna untuk mengawal penggunaan peranti mereka. Pelajar akan mendapat notifikasi beberapa minit sebelum aplikasi itu dihentikan.

Data penggunaan aplikasi dan laman sesawang tertentu juga boleh dijejak mengikut kategori-kategori yang sedia ada atau kategori yang anda buat sendiri.

Rumusan

Aplikasi ini mempunyai banyak pilihan dan ciri-ciri yang senang disesuaikan untuk setiap individu. Banyak lagi tetapan dan ciri-ciri yang kami belum cuba. Pokoknya, aplikasi ini sangat menyeluruh. Jika ada sesuatu yang anda ingin lakukan, pasti aplikasi ini boleh membuatnya. Perletakkan teks dan grafik juga direka dengan baik.

Walaupun perkara-perkara yang terperinci memerlukan lebih masa untuk mencari dan mempelajari, ciri-ciri yang penting dan utama sudah sedia untuk digunakan dari saat anda muat turun aplikasi ini. Kami dapati aplikasi ini sangat berguna dan pasti boleh memenuhi kehendak sesiapa sahaja, sama ada ibu bapa, guru ataupun diri sendiri. Aplikasi ini menjadi pilihan kami, tetapi dengan notifikasi tidak diaktifkan.

Usage Analyzer by KF Software House

Pautan: https://play.google.com/store/apps/details?id=info.kfsoft.usageanalyzer&hl=en&gl=US

Penggunaan

Sebaik sahaja membuka aplikasi ini, anda diminta memberi tarikh lahir anda. Tidak pasti sebenarnya untuk apa. Kemudian anda akan dibawa ke muka depan aplikasi di mana semua aplikasi ditunjukkan dalam bentuk ikon, dengan aplikasi yang paling banyak anda gunakan sepanjang empat minggu terletak paling atas.

Semua aplikasi dibahagikan kepada dua kelompok, sama ada aplikasi sistem (system apps) ataupun aplikasi pelancar (launcher apps). Anda boleh mengecualikan aplikasi mengikut kelompok. Akan tetapi, kami dapati beberapa aplikasi yang ingin kami jejak seperti Chrome dan YouTube termasuk dalam kelompok aplikasi sistem. Oleh itu, kami memasukkan kedua-dua kelompok untuk dijejak, kemudian mengeluarkan beberapa aplikasi satu persatu dari senarai. Ini boleh mengambil sedikit masa. Kami sarankan anda hanya mengeluarkan sesuatu aplikasi dari senarai hanya apabila anda tidak mahu melihatnya di antara aplikasi teratas.

Ciri-ciri yang memudahkan / bagus

Terdapat banyak data yang diberikan. Masa penggunaan boleh dilihat secara peratusan. Trend masa secara keseluruhan dalam satu minggu boleh dilihat sepintas lalu dari carta. Sejarah waktu anda membuka sesuatu aplikasi diberikan secara terperinci. Pilihan diberikan untuk melihat data purata (average) untuk setahun, empat minggu, seminggu atau seharian.

Ciri-ciri yang kurang memuaskan / tidak perlu

Data yang diberikan semuanya secara purata dan bukan jumlah keseluruhan dalam sehari. Ini kadang-kala mengelirukan dan kami juga kurang pasti bagaiamana data purata dibahagikan. Dibahagikan 24 jam? 7 hari? Seminggu atau 28 hari?

Aplikasi ini juga memerlukan sedikit masa untuk belajar menggunakannya. Walaupun banyak data dapat dibaca, ia tidak terkumpul semuanya di muka hadapan. Anda perlu klik tab satu persatu untuk melihatnya.

Ciri-ciri bonus

Anda juga boleh melihat berapa banyak data Wi-fi digunakan bagi setiap aplikasi.

Rumusan

Aplikasi ini memerlukan sedikit masa untuk memahami bagaimana hendak gunakan dan baca tetapi apabila sudah biasa, ia sebuah aplikasi yang mungkin berguna kerana ia ringkas dan tidak punya banyak ciri yang tidak diperlukan. Aplikasi ini menjadi pilihan bagi mereka yang hanya mahu melihat data penggunaan (secara purata, bukan secara jumlah) tanpa memerlukan notifikasi atau penyekatan apabila sudah capai had penggunaan.

Social Fever (hanya untuk telefon) oleh Systweak software

Pautan: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.systweak.social_fever&hl=en&gl=US

Penggunaan

Pada mulanya, leceh untuk buat persediaan (set up). Semua aplikasi yang sedia ada dalam telefon dijejaki secara automatik termasuk aplikasi yang sudah lama tidak digunakan. Dan aplikasi yang tidak penting perlu dipadam satu persatu dari senarai. Had penggunaan setiap aplikasi dalam sehari juga harus dibuat satu persatu. Tidak ada pilihan untuk tidak tetapkan had langsung.

Apabila had itu sudah tercapai, aplikasi ini akan memberi notifikasi. Tetapi awas! Ada sesuatu yang aneh berlaku pertama kali kami mencuba ciri ini. Notifikasi muncul dari aplikasi yang berlainan dan skrin telefon kami terus menunjukkan skrin putih dan membeku. Panik seketika apabila tiada apa-apa berlaku meskipun kami memicit lama butang untuk mematikan (shut down) telefon kami. Setelah berlalu kira-kira dua puluh saat, telefon kami akhirnya mati dan hidup semula. Mungkin aplikasi ini ada konflik dengan aplikasi yang lain.

Ciri-ciri yang memudahkan / bagus

Mudah untuk mengetahui sepintas lalu berapa jam secara keseluruhan anda menggunakan telefon atau aplikasi mana yang paling banyak digunakan dari rumusan di muka hadapan. Akan tetapi, data yang ditunjukkan adalah data sepanjang masa dari saat anda mula muat turun aplikasi. Beberapa langkah diperlukan untuk mendapatkan data harian (daily report).

Kebolehan untuk menghadkan penggunaan setiap aplikasi seperti yang diterangkan di atas juga amat berguna. Apabila had sudah dicapai, anda akan mendapat notifikasi.

Anda boleh juga mengaktifkan pemasa setiap kali anda membuka aplikasi terpilih, untuk mengetahui berapa lama masa telah berlalu.

Ciri-ciri yang kurang memuaskan / tidak diperlukan

Satu perkara yang sangat merumitkan ialah butang ke belakang (back button) tidak befungsi dengan betul. Kadang-kala ia akan menyebabkan aplikasi itu tutup tanpa ke mana-mana skrin dalam aplikasi tersebut. Kadang-kala ia pergi ke muka yang tidak anda jangka.

Muka utama turut menunjukkan aplikasi yang paling banyak digunakan sepanjang anda menggunakan telefon anda dari saat aplikasi Social Fever ini dimuat turun. Ini boleh menjangkau sehingga beratus-ratus hari (seperti gambar di atas). Tiada cara untuk menukar jangka masa kepada hanya setahun atau sebulan.

Notifikasi mula aktif sebaik sahaja anda memuat turun aplikasi ini. Jika hendak menghentikan notifikasi dari aplikasi ini, anda perlu ke tetapan telefon anda (phone settings). Tiada cara untuk menghentikannya dari aplikasi itu sendiri. Jika notifikasi dibenarkan, anda akan dapat melihat ringkasan penggunaan. Tetapi bagi saya ini tidak memberi apa-apa maklumat penting.

Ada beberapa lagi ciri lain seperti menjejak berapa banyak air yang anda minum, bila anda mahu luangkan masa untuk perkara tertentu dan menghadkan masa anda menggunakan fon telinga. Ciri-ciri ini tidak memenuhi tujuan kami memuat turun aplikasi ini dan amat leceh untuk digunakan.

Ciri-ciri bonus

Anda boleh menetapkan had masa melihat skrin telefon bijak anda (limit screen time). Apabila sudah sampai hadnya, anda akan mendapat satu notifikasi.

Rumusan

Walaupun rekabentuknya ringkas, masalah-masalah serta ciri-ciri yang tidak diperlukan seperti yang disebut di atas membuat kami teragak-agak untuk menyarankan penggunaan aplikasi ini.

My Phone Time (hanya untuk telefon) oleh Smarter Time

Pautan: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.smartertime.phonetime&hl=en&gl=US

Penggunaan

Aplikasi yang paling ringkas dan mudah. Sesiapa sahaja boleh terus menggunakannya sebaik sahaja memuat turun aplikasi ini. Tidak ada apa-apa yang terlalu rumit dan memakan masa untuk mempelajari. Meskipun pada mulanya semua aplikasi dijejaki, mudah sahaja untuk memilih aplikasi mana yang tidak mahu disenaraikan dengan memilih ‘Whitelist’ dari tetapan (settings). Di muka depan, hanya tiga aplikasi yang paling banyak digunakan dipaparkan.

Ciri-ciri yang memudahkan / bagus

Ia amat ringkas. Di muka depan boleh dilihat sekilas berapa lama anda gunakan telefon anda dan aplikasi yang paling banyak anda gunakan. Data yang ditunjukkan berdasarkan jumlah masa anda menggunakan sesuatu aplikasi.

Ciri-ciri yang kurang memuaskan / tidak perlu

Notifikasi sudah pun aktif sebaik anda muat turun dan buka aplikasi ini. Tetapi untuk memadam notifikasi, anda perlu ke tetapan keseluruhan (umpamanya Android Setting), bukan dari tetapan aplikasi itu sendiri. Banyak ciri-ciri lanjutan perlu dipilih di sini. Ada juga beberapa ciri-ciri yang tidak berfungsi seperti yang dijangka.

Umpamanya, anda boleh senaraikan aplikasi yang anda mahu sekat penggunaannya ke dalam ‘Watchlist’. Namun, apabila kami mencubanya, tiada apa-apa yang berlaku.

Rumusan

Aplikasi yang ringkas dan mudah digunakan. Pilihlah aplikasi ini jika anda hanya mahu menjejak masa tanpa ciri-ciri yang menggangu atau menyekat penggunaan telefon bimbit anda.  

Lain-lain

Beberapa aplikasi lain yang kami cuba tetapi nyahpasang (uninstall) selepas itu:

SPACE: break phone addiction oleh Mobifolio

Aplikasi ini hanya menjejaki masa keseluruhan anda menggunaka telefon tetapi tidak mebahagikan secara terperinci masa penggunaan setiap aplikasi.

SaveMyTime – Time Tracker oleh Save My Time

Memerlukan pendaftaran.

Digital Detox: Focus & Live by Urbandroid

Tidak intuitif kerana data tidak terdapat di muka depan. Terasa seperti terlalu susah untuk mempelajari bagaimana hendak menggunakan aplikasi ini.

 Kesimpulan

Terdapat banyak aplikasi sedia ada yang boleh menjejak masa penggunaan peranti bijak anda. Mesikupun tidak ada satu aplikasi yang seratus peratus memuaskan atau memenuhi kehendak kami, kami harap apa yang kami kongsikan di sini akan membantu pembaca rihlah untuk senarai pendekkan aplikasi yang boleh dijadikan pilihan. Ketagihan teknologi adalah satu perkara yang serius dan langkah pertama untuk mengatasinya ialah dengan menganalisa di mana kebanyakan masa anda telah dihabiskan.

~Cikgu Aiskrim~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...