Aku masih berguna!
Perasaan itu menyerangku dengan tiba-tiba. Atau mungkin serangannya tidaklah begitu mendadak. Mungkin aku sudah perlahan-lahan merasai kehadirannya menyelinap ke dalam diriku tetapi aku abaikan perasaan itu. Teguran H yang risau melihat aku lalai dalam menjaga kesihatanku tidak aku hiraukan. Aku yakin episod hitam yang berlaku tempoh hari sudah jauh aku tinggalkan.
Ternyata aku salah.
Ia berlaku ketika H menegurku. Satu perkara yang kecil sahaja. Bukannya H memarahiku pun, sekadar mengingatkan dengan nada yang tenang. H tidak pernah meninggikan suaranya terhadapku.
Tetapi pada saat itu, aku rasakan aku manusia yang paling tidak berguna di dalam dunia ini. Perasaan berat yang aku rasai tidak dapat aku tanggung lagi. Aku mula menangis. Tangisan yang mulanya hanya sedu-sedan menjadi raungan. Raungan untuk meluahkan beban yang aku rasakan. Di dalam benakku, kata-kata, “Aku tak guna! Aku tak guna!” berulang-ulang. Aku ingat kembali betapa H melayan aku dengan baik tetapi aku tidak pernah balas kebaikannya, malah banyak menyusahkannya. Aku memikirkan betapa hanya beberapa hari setelah aku setuju untuk bekerja sepenuh masa, aku sudah rasa penat dan tertekan. Aku kesal kerana tidak dapat meluangkan masa untuk anak-anak E seperti yang mereka pinta.
Aku hanya menyusahkan semua orang. Aku tidak berguna lagi pada sesiapa. Lebih baik aku mati sahaja!
Itulah episod kemurunganku yang pertama semenjak peristiwa aku cuba bunuh diri tempoh hari. Ia juga bukan episod yang terakhir. Pada mulanya, apabila doktor mendiagnosis bahawa aku alami kemurungan, aku tidak percaya. Tidak percaya bahawa kemurungan adalah satu penyakit yang benar-benar wujud. Apatah lagi percaya ia menimpaku. Aku sangka, kesedihan berpanjangan yang aku alami adalah disebabkan layanan keluarga Pakcik M terhadapku selama ini. Aku yakin, perasaan berat dan putus asa yang aku tanggungi itu tidak akan datang lagi setelah aku berjauhan dari mereka.
Tetapi sangkaanku meleset sama sekali. Meskipun sudah lama tidak bertemu dengan keluarga Pakcik M, meskipun, aku kini hidup dengan H yang sangat prihatin dan banyak bersabar dengan kerenah aku, aku tetap diserang episod-episod kemurungan. Lama kelamaan, aku terpaksa menerima hakikat bahawa kemurungan adalah satu penyakit, sama seperti penyakit kanser, kencing manis atau darah tinggi. Aku juga harus terima hakikat bahawa aku menghidapi penyakit ini. Dan seperti mereka yang menghidapi penyakit fizikal, aku mungkin tidak dapat jalani hidupku sepenuhnya seperti semasa aku sihat.
Tetapi H selalu mengingatkan, itu tidak bererti aku tidak berguna.
Ya, aku mungkin tidak lagi dapat bekerja lapan jam sehari terus-menerus daripada pukul sembilan pagi hingga enam petang mengikut waktu pejabat. Ya, aku mungkin perlukan rehat dan tidur yang lebih daripada yang diperlukan manusia lazimnya. Ya, aku perlu lebih prihatin tentang pemakananku dan pastikan aku lakukan senaman secara kerap. Tetapi aku masih boleh menyumbang kepada orang di sekelilingku, walaupun sumbanganku tidak sebanyak sumbangan seseorang yang sihat. Usaha manusia berbeza-beza seperti bezanya malam dan siang, atau lelaki dan perempuan, sebagaimana yang tertulis di dalam Al-Quran, surah Al-Lail ayat satu hingga empat yang bermaksud:
“Demi malam apabila menutupi (cahaya siang). Dan siang apabila terang benderang. Dan penciptaan lelaki dan perempuan. Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.”
(Al-Lail: 1-4)
Aku mula mengubah rutinku. Aku tidak lagi cuba bekerja berterusan mengikut waktu pejabat seperti semasa aku bekerja di syarikat lamaku. Aku dapati aku mampu bekerja sehingga empat jam pada waktu pagi diselang-seli dengan beberapa waktu rehat yang pendek. Selepas itu, aku memaksa diriku untuk lakukan perkara lain. Aku juga lebih peka terhadap emosi dan kesihatanku sendiri.
Pada waktu petang, jika aku rasa mampu, aku akan sambung kerja selama dua hingga tiga jam. Jika aku penat atau rasa tertekan, aku akan berehat. Mungkin bermain dengan anak-anak E. Mungkin berjalan di kebun atau hutan berdekatan bersama H. Daripada membiarkan kerisauan menghantui aku setiap waktu, memikirkan tentang apa tugasan yang perlu aku selesaikan hari itu juga, aku menilai hidupku berdasarkan berapa jam yang berkualiti yang sudah aku luangkan setiap hari untuk perkara yang bermanfaat. Aku teringat kata-kata Z, “Allah menilai kita berdasarkan apa yang kita lakukan dengan nikmat yang diberikan kepada kita, bukan atas apa yang kita dapat. Kerana apa yang kita dapat dari usaha itu adalah ketetapan Allah.”
Mungkin ada beberapa kali aku perlu kejarkan tarikh yang dijanjikan tetapi aku sudah semakin arif mengimbangi tugas aku sehingga keadaan sedemikian jarang berlaku.
Tipu kalau aku katakan bahawa aku tidak lagi alami kemurungan semenjak mengikut rutin baharu. Sekali-sekala perasaan kemurungan itu pasti menggangguku lagi. Tetapi dengan pertolongan H dan orang-orang di sekelilingku, aku sedang belajar untuk hidup dengan penyakit ini. Ujian manusia pelbagai. Ujianku adalah untuk bersabar dengan penyakit yang ditakdirkan untukku.
Dan aku percaya, selagi Allah belum lagi mengambil nyawaku, selagi itu masih ada yang aku perlu lakukan di muka bumi ini. Aku masih berguna!
~Q~