Mencari Lebih Masa
Kita selalu rasakan yang kita kesuntukan masa.
Itulah juga alasan yang kita selalu berikan pada guru kita apabila kita tidak selesaikan tugasan sekolah. Tidak cukup masa. Suatu hari, apabila ramai di antara pelajar tidak selesaikan tugasan minggu itu, itulah alasan yang kami berikan kepada Cikgu Wasabi. Sebagai denda, Cikgu Wasabi memberi kami satu lagi tugasan menulis. “Buat kajian dan tulis tentang bagaimana hendak mendapatkan lebih masa,” katanya.
Sudah tentunya kami mengeluh. Belum selesai satu tugasan, sudah dibebankan dengan tugasan yang lain. Mujur Cikgu Wasabi menangguhkan tarikh untuk kami selesaikan kedua-dua tugasan itu.
Di masa yang sama, aku teruja. Adakah cara untuk mendapatkan lebih masa? Aku memutuskan untuk tidak sahaja mencari jawapannya di buku-buku atau internet. Aku mahu membuat eksperimen.
Pertama, aku kurangkan masa melakukan perkara yang tidak begitu penting seperti kerja rumah. Jadual membersih tandas, menolong di kebun dan membantu di dapur sudah semestinya tidak boleh dielakkan kerana telah ditetapkan oleh sekolah. Namun, aku mengira ada beberapa beberapa perkara yang boleh kurangkan masa untuknya. Umpamanya, jika aku pakai bajuku dua hingga tiga kali sebelum aku cuci, boleh jimatkan masa mencuci baju. Begitu juga dengan cadar, tuala dan sebagainya. Makan dari periuk tanpa mencedoknya ke pinggan mengurangkan pinggan untuk dicuci, sekaligus masa untuk mencuci. (Cikgu Asam Pedas terkejut apabila kumpulan kami mula makan dari periuk tetapi setelah aku menerangkan sebabnya, dia membenarkan kami untuk teruskan eksperimenku).
Kedua, aku cuba ambil satu masa untuk lakukan dua perkara sekali. Umpamanya, aku membawa tugasan menulis dan tugasan sejarahku ke pertandingan badminton antara sekolah pada hujung minggu supaya aku dapat lakukannya sambil menyaksikan pertandingan tersebut. Aku juga membuat tugasan lain sambil menonton rancangan kegemaranku di televisyen.
Ketiga, dan ini jawapan yang paling klasik untuk mengejarkan lebih masa, aku kurangkan masa tidur. Daripada tidur pada pukul sepuluh malam, aku mula biasakan tidur tengah malam. Ini akan menambahkan masaku selama empat belas jam dalam seminggu! Hebat kan?
Sebulan kemudian…. aku masih rasakan aku tidak cukup masa.
Bukan itu sahaja, prestasiku dalam pelajaran mula menurun. Kualiti tugasan yang ku hantar kurang memuaskan dan tumpuanku dalam kelas berkurangan. Apabila aku ceritakan eksperimenku pada Cikgu Asam Pedas, dia tidak terkejut. Pada hematnya, kekurangan waktu tidurku serta kesungguhanku untuk mengisi masa yang lebih dengan banyak kegiatan lain adalah punca tumpuanku terjejas. Apabila tidak cukup rehat, otak tidak dapat memberi tumpuan pada tahap tinggi.
Cikgu Asam Pedas juga percaya, apabila kita cuba melakukan kegiatan-kegiatan berbeza yang memerlukan perhatian dalam masa yang sama, kita sebenarnya menggunakan lebih banyak masa. Sebabnya ialah kita perlukan masa untuk mengalih perhatian dari satu kegiatan kepada kegiatan yang lain. Dia mengesyorkan aku membaca buku ‘The Myth of Multitasking’ oleh Dave Crenshaw yang berada dalam perpustakaan sekolah.
Aku mencuba teori itu dengan mengajak Aurora dan Vermilion membuat eksperimen yang disyorkan di dalam buku itu. Aktivitinya mudah sahaja. Mulanya, salin ayat, ‘MULTITASKING IS A MYTH.’ Tetapi untuk setiap huruf yang ditulis, selang-selikan dengan nombor. Contoh aktiviti pertama yang dibuat separuh jalan:
Catat masa yang diambil. Inilah keputusan kami:
Aurora: 35.57 saat
Vermilion: 41.96 saat
Sang Harimau: 38.45 saat
Untuk aktiviti kedua, salin ayat yang sama tetapi salin semua huruf dalam ayat dahulu, kemudian baru tulis semua nombor di bawahnya, seperti ini:
Ini masa yang kami ambil:
Aurora: 20.97 saat
Vermilion: 25.15 saat
Sang Harimau: 24.85 saat
Memang betullah. Kita akan mengambil lebih masa jika membuat beberapa perkara yang berbeza dalam satu-satu masa.
Aku akhirnya menyimpulkan bahawa amatlah sukar untuk menggandakan masa yang kita ada. Perkara-perkara yang aku cuba lakukan mungkin dapat menjimatkan masa sedikit tetapi apabila aku rasakan aku ada lebih masa, aku teruja untuk menggunakan masa itu untuk pelbagai perkara lain yang lebih menarik perhatianku. Hmm… mungkin betullah kata cikgu-cikgu semua. Apa yang penting ialah untuk kita lebih bijak mengurus masa. Tetapi itu topik untuk hari lain.
~Sang Harimau~
Nota: Untuk makluman kawan-kawan, kajian ini hanya dilakukan semasa sebulan. Aku sekarang sudah kembali mencuci baju, tuala dan cadarku sekerap sebelum eksperimen ini.