Nilai hidup dengan masa
Si murid mengambil kertas ujian yang sudah diperiksa. Raut wajahnya jelas memaparkan kekesalan setelah melihat markah yang diraih. Perasaan simpati terdetik di hati. Murid yang dimaksudkan adalah murid yang baik. Dia rajin, taat pada guru-guru dan suka membantu. Sayangnya, dia selalu tidak dapat markah yang memuaskan dalam ujian.
Sebagai guru, keadaan ini sering aku hadapi. Kadang-kala terfikir juga, adilkah kita ‘menghargai’ mereka yang setakat mampu mendapat markah yang baik dalam peperiksaan meskipun akhlaknya tidak sebaik yang diharapkan? Beberapa kali juga terjadi, seorang murid yang malas dan selalu bersikap kurang-ajar terhadap guru, mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan. Dan murid-murid sebeginilah yang biasanya ‘disanjung’ kerana berjaya menaikkan nama sekolah dengan keputusannya.
Inilah keadaan dunia kita sekarang ini. Manusia seringkali menilai manusia lain berdasarkan apa yang telah dikecapi. Seorang yang mempunya gaji lumayan, pangkat tinggi, kereta mewah, rumah besar dan sebagainya dianggap orang yang ‘berjaya’. Tidak pernah kita bertanya, apakah usaha yang dilakukannya untuk memperolehi kejayaan itu? Kenapa kita mengukur seseorang berdasarkan kayu ukur materi? Adakah ini cara menilai dalam Islam?
Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. menilai kita. Di dalam Surah Al-Zalzalah ayat tujuh dan lapan tertulis yang bermaksud,
“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”
(Al-Zalzalah: 7-8)
Allah s.w.t memberi ganjaran atas usaha kita, bukan atas apa yang kita raih. Kerana natijah dari usaha itu hak Allah untuk menentukan, bukan manusia. Seringkali juga ibu bapa membanding-bandingkan anak mereka dengan rakan-rakan mereka berdasarkan markah peperiksaan, gaji, pangkat dan sebagainya. Tidak salah sekali sekala membuat perbandingan untuk menyuntik semangat anak supaya mereka berusaha memperbaiki diri. Tetapi janganlah keterlaluan dalam membuat perbandingan dan memperkecilkan usaha mereka sehingga menyebabkan anak kita rasa tertekan, malah membenci kita.
Namun apakah kayu pengukur yang boleh digunakan untuk menilai usaha? Bagaimana hendak meyakini bahawa kita benar-benar telah berusaha?
Salah satunya cara menilai usaha kita ialah dengan mengukur masa yang dihabiskan. Hari ini, berapa jamkah kita telah gunakan untuk menonton video? Berbual kosong? Bermain? Berapa jam pula telah kita gunakan untuk membaca? Mendengar ceramah? Membantu orang lain? Jika kita benar-benar jujur mengukur masa yang telah kita habiskan, kita akan rasa terkesan dengan kebenaran firman Allah s.w.t. yang selalu kita dengar dalam surah Al-Asr yang bermaksud:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran serta nasihat menasihati dengan kesabaran.”
(Al-Asr: 1-3)
Bagi seorang murid yang rajin, setiap saat yang digunakan untuk belajar dengan hati yang ikhlas kerana Allah s.w.t., pasti akan mendapat pahalanya. Seorang ibu yang tidak putus-putus menasihatkan anaknya tetap akan dibalas kerana usahanya. Seorang pekerja yang rajin dan tidak mencuri masa di tempat kerja pasti akan mendapat ganjarannya. Tidak kiralah sama ada mereka berjaya mendapat markah cemerlang, mengubah perangai anak atau dinaikkan pangkat. Oleh itu, janganlah kita berputus-asa dengan apa yang kita tidak dapat kecapi di dunia ini tetapi bergembiralah atas setiap saat yang telah kita laburkan dengan perbuatan yang manfaat. Ambil juga peluang untuk berusaha dengan lebih kuat lagi.
Di samping itu, kita tidak boleh memberikan alasan untuk sambil lewa atau bermalas-malasan. Manfaatkan masa berdasarkan kekuatan kita. Seorang pelajar yang sengaja melambat-lambatkan usahanya untuk menghabiskan suatu tugasan dalam masa tiga jam yang dia sebenarnya mampu untuk habiskannya dalam sejam hanya menyia-nyiakan masa. Alangkah ruginya dia!
Jangan pula beranggapan bahawa kita tidak perlu berusaha kerana kesudahan usaha kita sudah ditakdirkan. Sekiranya kita berusaha dengan ikhlas, meskipun kita tidak mendapat apa yang kita mahukan di dunia ini, pahala atas usaha kita pasti ada. Jika kita tidak melakukan apa-apa, kita tidak akan dapat apa-apa, di dunia mahupun di akhirat.
Ayuh, mulakan hari ini untuk menilai hidup kita berdasarkan masa.
~Cikgu Dodol~