arrow_upward

Muharram/Safar
Isu 04-1

Mesra Muslim

Tidak sangka, pengaruh Islam dapat dilihat di mana-mana di Afrika Selatan, walaupun penduduk Muslim kurang daripada dua peratus di sana. Banyak tempat di sana yang mesra Muslim. Mungkin untuk menarik pelancong-pelancong Muslim yang kaya-kaya dari Timur Tengah.

Misalnya, banyak tempat yang kerap dikunjungi pelancong menyediakan musollah yang bersih dan nyaman. Lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Cape Town dan Lapangan Terbang O.R Tambo mempunyai musollah yang lengkap. Pusat membeli-belah yang terkenal seperti Sandton City, Victoria Wharf dan Canal Walk Shopping Centre juga mempunyai musollah yang dijaga dengan baik. Malah, musollah di Victoria Wharf mempunyai tandas khas bersebelahan musollah. Aku juga ternampak tanda jalan ke arah tempat ibadah di Skukuza Rest Camp, salah satu tempat rehat di Taman Nasional Kruger semasa kami membuat lawatan safari di taman tersebut. Pemandu pelancong safari kami pula amat memahami keperluan kami untuk berhenti seketika untuk solat.

Musolla wanita di Victoria Wharf Shopping Centre

Pada mulanya, aku risau juga tentang makanan halal yang menepati seleraku. Adakah banyak tempat untuk mencari makanan halal? Kerana itulah kami membawa makanan segera seperti tuna dalam tin dan Kembara Meals. Tetapi setibanya di sana, aku dapati bahawa aku tidak perlu risau. Afrika Selatan sebenarnya mempunyai banyak rangkaian makanan yang terkenal seperti Nando’s, Spur, Steers, Wimpy, Kauai dan Ocean Basket yang mempunyai cawangan-cawangan yang punya pensijilan halal. Makanannya sedap-sedap belaka. Walaupun tidak semua, tempat-tempat yang biasa dikunjungi pelancong seperti di lapangan terbang utama atau tempat tarikan pelancong seperti di stesen kabel Table Mountain selalunya mempunyai cawangan yang mempunyai sijil halal.

Sijil Halal di kiosk makanan di stesen kereta kabel Table Mountain

Bagi mereka yang lebih tegas tentang makanan halal, boleh pastikan sama ada sesuatu cawangan atau tempat makan itu halal atau tidak dengan menyemak laman-laman pensijilan halal:

Muslim Judicial Council (South Africa)

Islamic Council of South Africa

South African National Halaal Authority

Sayangnya, apabila Vermillion tanya kepadaku tentang makanan tradisional Afrika Selatan, aku tidak tahu. Kerana semua tempat makanan yang kami kunjung tidak menawarkan makanan Afrika Selatan.

Tahukah anda, di Afrika Selatan, ada satu hotel di mana alkohol tidak dibenarkan sama sekali? Aku kagum apabila mengetahui tentang perkara ini, lebih-lebih lagi kerana negara kita yang lebih ramai peratusan Muslim, tidak mempunyai hotel bertaraf empat bintang yang terkenal sebegini. Kebiasaannya, hotel-hotel pasti menjual alkohol kerana khuatir akan kehilangan keuntungan jika tidak berbuat demikian. Walaupun beberapa hotel-hotel di negara kita mempunyai restoran bersijil halal, alkohol tetap ditawarkan, sama ada di premis makanan berlainan dalam hotel yang sama atau dalam menu room service. Tetapi, The Capetonian bukan sahaja satu-satunya hotel yang menyediakan bufet halal, mereka yang menginap di situ dilarang sama sekali untuk membawa masuk alkohol! Aku rasa beruntung dapat tinggal di hotel yang selesa ini. Bila agaknya negara kita akan ada hotel sedemikian?

Hotel The Capetonian

Ketika hendak pulang, aku mendapat satu lagi kejutan yang menggembirakan. Aku cukup teruja apabila mendapati banyak makanan ringan yang mempunyai sijil halal di lapangan terbangan CapeTown. Ada coklat, nougat, biskut, dan bermacam-macam lagi. Banyak juga snek keluaran Afrika Selatan yang ada sijil halal. Sesuai untuk dijadikan cenderahati untuk kawan-kawan di tanah air! Apalagi… habis duit mama dan papa di situ, hehehe. Tetapi tidak mengapalah, memang hendak habiskan duit Afrika di situ pun… Bukannya kita boleh gunakan duit itu apabila pulang nanti kan? Hendak tukar semula ke mata wang tempatan, terasa rugi pula.

Pengalaman melawati Afrika Selatan adalah pengalaman yang tidak akan aku lupakan. Jika ada duit, aku ingin ke sana sekali lagi.

~Sang Harimau~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...