Khazanah tidak ternilai
Kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tambo (Tambo International Airport) di Johannesburg pada waktu malam. Di sini sahaja aku sudah kagum kerana tidak perlu beratur lama untuk cop paspot, tidak seperti kebanyakan pusat pemeriksaan di negara-negara di Asia Tenggara. Lapangan Terbang ini bersih dan kelihatan besar tetapi aku tidak sempat untuk teroka kerana tiba sahaja di sana, kami disambut mesra oleh pemandu pelancong kami dan dibawa terus ke tempat penginapan. Aku pun sudah terlalu penat melalui perjalanan yang memakan tujuh belas jam termasuk transit. Aku hanya mahu tidur.
Lawatan ke Muzium Apartheid keesokan harinya mengingatkan aku betapa untungnya aku kerana tidak melalui diskriminasi yang begitu teruk seperti yang dilalui oleh orang-orang di Afrika Selatan. Walaupun apartheid (segregasi mengikut warna kulit) sudah dimansuhkan, kesan apartheid dirasai hingga sekarang dan antara sebab ramai orang Afrika Selatan masih dalam lingkaran kemiskinan.
Alang-alang sudah ke Afrika, pengalaman ke safari satu kemestian. Keesokan harinya, rombongan kami dibawa dari Johannesburg ke Kruger untuk melawati Taman Kruger Nasional (Kruger National Park), taman safari ketiga terbesar di Afrika. Dalam perjalanan ke Kruger, bukit-bukau terpacak di kiri dan kanan. Terdapat juga banyak ladang. Ada ladang limau, pisang, kelapa, jagung dan macam-macam lagi.
Selepas berehat satu malam, lawatan safari bermula sebaik sahaja kami solat Subuh, kerana binatang-binatang biasanya dapat dilihat pada awal pagi. Kami cukup teruja melihat pelbagai binatang liar yang hidup dalam kediaman semulajadi mereka. Dan apabila berada di atas bukit di tengah-tengah Taman Kruger, Subhanallah! Hanya hutan Afrika yang kelihatan di sekeliling, beratapkan langit biru yang luas saujana mata memandang. Terasa begitu kerdilnya diri ini di hadapan kebesaran Allah! Alangkah ruginya manusia jika kita kehilangan khazanah seperti ini!
Meskipun terdapat kawalan ketat dan renjer yang berkerja sepenuh masa, bilangan binatang-binatang di taman safari ini semakin berkurangan saban tahun. Perubahan iklim yang mendadak serta kekejaman pemburu haram yang tamak antara punca utama. Aku insaf dan sedar, bahawa aku juga ada tanggungjawab untuk memelihara taman-taman safari sebegini, sama ada dengan sumbangan wang kepada mereka yang berusaha melindunginya, atau bersikap lebih proaktif dan prihatin dalam memelihara bumi.
Dalam perjalanan pulang pula kami sempat singgah tempat-tempat daya tarikan pelancong untuk menikmati pelbagai fenomena alam seperti Three Rondavels dan Bourke’s Luck Potholes. Tidak putus-putus kami bertasbih memuji Allah melihat keindahan ciptaan-Nya.
“Yang telah menjadikan bagi kamu bumi sebagai hamparan, dan Yang menjadikan bagi kamu padanya jalan-jalan dan Dia telah menurunkan dari langit air hujan. Maka Kami keluarkan dengannya (air hujan itu) berjenis-jenis dari tumbuhan yang bermacam-macam.” (Q.S. Taha [20]: 53)
Dari Johannesburg, kami terbang ke Cape Town. Sedang kami menaiki bas dari lapangan terbang ke hotel, aku teruja dapat melihat gunung terkenal Table Mountain dari sepanjang perjalanan kami di tengah-tengah kota. Pasir putih, lautan biru dan ombak tinggi pula menghiasai pandangan ketika menyusuri tepi pantai. Keindahan alam semulajadi memang terserlah di Afrika Selatan.
(Untuk melihat lebih banyak keindahan alam semulajadi Afrika Selatan, lihatlah segmen Santai.) (link)
Ke mana sahaja kami pergi, pasti ada penjual cenderahati. Mungkin kerana safari merupakan daya tarikan pelancong yang paling utama di Afrika, kebanyakan cenderahati mempunyai gambar atau ukiran binatang-binatang. Tawar-menawar adalah lumrah dalam membeli barang-barangan di situ. Pemandu pelancong kami menasihati agar mula menawar separuh daripada harga asal barangan yang hendak dibeli.
Satu perkara yang kami kagumi ialah kebersihan tandas di tempat-tempat yang menjadi daya tarikan pelancong. Tandas-tandas awam di Afrika Selatan dijaga dengan baik oleh pekerja pembersihnya. Gaji mereka tidak seberapa, oleh itu, mereka bergantung kepada wang atau tip yang diberi pengunjung. Jadi janganlah kedekut ya!
Betulkah Afrika Selatan sangat merbahaya? Alhamdulillah, sepanjang berada di sana, kami tidak menghadapi sebarang masalah dari sudut keselamatan. Pada pengamatan kami, kebanyakan negara lain yang pernah kami kunjungi, tentunya ada tempat-tempat tertentu yang para pelancong sedia maklum harus dielakkan. Dan semestinya sikap berhati-hati perlu sentiasa ada.
Begitulah juga di Afrika Selatan. Gunakanlah akal atau common sense. Ambil pemandu pelancong yang boleh dipercayai untuk membawa anda dan pastikan mereka berdaftar dan bertauliah. Keluar secara berkumpulan, jangan seorang diri. Hati-hati membawa barang anda dan jangan mempamerkan barang-barang yang mahal atau berjenama. Elak pergi ke tempat yang terkenal dengan kadar jenayah yang tinggi atau keluar pada lewat malam.
Menurut pemandu pelancong kami, setiap pelancong yang datang ke Afrika Selatan mewujudkan pekerjaan untuk dua belas orang tempatan. Daripada ke Jepun, Paris atau New York, mengapa tidak ke Afrika Selatan? Anda sekaligus akan membantu ekonomi sebuah negara membangun dan menyumbang kepada pemeliharaan kehidupan hutan-hutan yang semakin pupus.
Dengan langkah berjaga-jaga yang biasa dipatuhi di mana-mana negara asing, berserta doa yang tidak putus-putus kepada Tuhan Yang Maha Mendengar, Maha Berkuasa, Maha Memberi Keselamatan, insya-Allah, anda akan menikmati satu pelancongan yang cukup unik dan memuaskan apabila berkunjung ke Afrika Selatan.
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang dan kapal-kapal yang berlayar di laut dengan membawa apa yang memanfaatkan manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu Dia hidupkan dengannya (air itu) bumi sesudah matinya, dan Dia sebarkan padanya (bumi itu) segala jenis binatang; Dan pergerakan angin dan awan dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (pada semuanya itu) terdapat tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang memikirkan.” (Q.S. Al-Baqarah [2]: 164)
~Techie Qari~