Mengekalkan hafalan
Aku sangat teruja apabila berjaya menghafal beberapa surah. Namun, apabila aku cuba mengulangkaji surah-surah lama yang aku hafal, aku terkilan mendapati hafalanku banyak mengandungi ‘lubang’. Aku sudah mula lupa kalimah dan frasa tertentu dalam surah-surah yang telah aku hafal sebelum ini.
Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Aku mula mencari buku-buku tentang ingatan jangka panjang (long term memory) dan teknik menghafal Al-Quran. Dari hasil kajianku, aku merumuskan:
- Semakan yang berjarak (spaced retrieval) perlu selalu dilakukan secara konsisten. Satu cara ialah untuk membuat semakan setiap beberapa hari agar jarak masa dari satu ulangkaji ke unlagkaji yang lain tidak terlalu panjang.
- Selang-selikan pelajaran lama dengan yang baru (interleaved learning)
- Jangan putus asa apabila menghadapi kesukaran, lebih-lebih lagi apabila hafalan seolah-olah telah ‘hilang’. Hafalan itu sebenarnya tidak hilang, cuma terbenam di dalam ingatan memori dan perlu usaha lebih sedikit untuk mendapatkannya semula. Kajian juga menunjukkan, lebih susah untuk seseorang mengingati sesuatu, lebih kukuh ia terpahat pada jangka panjang setelah berjaya mengingatinya kembali.
Perkara yang patut dielakkan:
- Jangan setakat baca berulang-kali (reread) atau ‘menghafal’ sambil mendengar qari membaca. Wajib mengingat semula hafalan tanpa melihat mushaf sehingga tiada kesalahan.
Berdasarkan prinsip-prinsip ini, aku melakarkan sebuah pelan tindakan (action plan) untuk mengukuhkan hafalan surah-surah yang telah aku hafal sebelum ini. Setelah mencuba beberapa kaedah dan membuat pengubahsuaian, aku akhirnya mempunyai satu plan tindakan yang aku lakukan secara tetap setiap hari.
Setiap pagi selepas solat Subuh
- Hafal ayat untuk surah baru, contoh, surah Al-Hijr, dengan menulis dan membacanya berulang kali. (Kalau kawan-kawan berminat, Penjaga Malam juga ada mengongsi beberapa petua untuk menghafal dalam isu sebelum ini).
- Pilih satu surah lain yang sudah lama dihafal, contoh, surah Al-Ma’aarij. Tuliskannya tanpa melihat pada Al-Quran. Kemudian semak semula dengan merujuk kepada Al-Quran.
Jika surah itu panjang, boleh membahagikannya kepada beberapa bahagian dan ulangkaji surah ini untuk beberapa hari. Umpamanya, untuk surah Al-Ma’aarij, aku mula menulis ayat 1-9 pada hari Isnin, 10-18 pada hari Selasa, 19-25 pada hari Rabu dan seterusnya. - Tandakan ayat atau kalimah yang terdapat kesilapan. Ulangkaji ayat ini pada hari lain.
Setiap petang selepas solat Asar
- Ulang hafal surah baru (Al-Hijr), seperti yang dilakukan pada solat Subuh.
- Ulang baca surah lama yang lain secara lisan, contoh surah Al-Waaqi’ah. Jika ada peluang, dapatkan orang lain untuk mendengar semak atau rakam suara dan semak sendiri.
Setiap solat sunat rawatib
- Pilih satu surah lama yang sudah dihafal dengan yakin.
- Sebelum memulakan solat, imbas kembali kesilapan yang ditandai untuk elakkan kesilapan semasa membaca surah tersebut.
- Baca surah itu semasa melakukan solat sunat.
Tip bonus:
Aku dapati, jika menulis dengan tangan ayat-ayat yang aku hendak hafal, ia lebih jelas terbayang dalam kotak ingatanku apabila aku cuba mengingatinya. Menurut kajian yang aku baca, menulis mengukuhkan keupayaan untuk mengingati teks kerana ia juga melibatkan penggunaan otot lain. Di samping itu, penggunaan warna pen yang berwarna-warni, serta penyusunan frasa mengikut hafalanku memudahkan lagi aku untuk mengingat.
Lihat gambar-gambar di atas. Bagiku, lebih sukar untuk menghafal dari mushaf pertama kerana setiap mukasurat kelihatan hampir sama kerana semua baris berakhir di tempat yang sama. Bagiku, lebih mudah untuk mengingati ayat dalam mushaf kedua berdasarkan perbezaan dari segi panjang sesuatu ayat serta kedudukan ayat itu kerana setiap ayat dimulakan di baris yang baru. Gambar ketiga ialah tulisan tanganku yang menggabungkan kelebihan mushfa pertama dan kedua – setiap bermula pada baris yang baru dan terjemahan setiap kalimah diletakkan di atas kalimah tersebut.
Aku puas hati dengan pelan tindakan ini kerana aku dapat menghafal surah baru dan mengulangkaji surah lama tanpa menggunakan masa yang terlalu panjang setiap hari (lebih kurang 30 minit pada waktu pagi dan 30 minit pada waktu petang). Ia juga menggunakan tiga prinsip yang disebut di atas – semakan berjarak, selangan pelajaran lama dengan yang baru dan sedikit kepayahan dalam mengulangkaji (kerana perlu menulis hafalan lama).
Pelan tindakan ini tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Ia juga tidak sepatutnya merumitkan. Setiap individu seharusnya membuat pelan tindakan yang lebih sesuai mengikut kemampuan dan keadaan masing-masing. Apa yang penting ialah:
- Istiqamah dalam mengulangkaji hafalan-hafalan lama setiap hari, walaupun sedikit, sama ada dengan menulis, mendengar semula atau melafaz untuk orang lain dengar. Jangan risau jika perjalanan hafalan terasa lambat. Apa pun yang kita hafal adalah atas kehendak Allah SWT. Yang penting ialah usaha kita.
“Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang sebenar-benarnya. Dan janganlah kamu tergesa-gesa dengan (membaca) Al-Quran sebelum selesai dibacakan kepadamu wahyu-Nya, dan katakanlah: ‘Ya Tuhanku, tambahkanlah aku ilmu’.”
(Q.S. Taha [20]: 114)
“Janganlah kamu menggerakkan lidahmu (untuk membaca Al-Quran) kerana hendak cepat-cepat (menguasai)-nya. Sesungguhnya atas (tanggungan) Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Maka apabila Kami telah membacakannya maka ikutilah bacaannya. Kemudian sesungguhnya atas (tanggungan) Kamilah penjelasannya.”
(Q.S. Al-Qiyamah [75]: 16-19)
- Jangan putus asa walaupun banyak kali lupa. Kembalikan semangat untuk menghafal dengan mengingatkan kembali tujuan asal menghafal ayat-ayat tersebut.
Aku teringat apabila menghafal surah Qaf, aku begitu teruja diingatkan tentang kehebatan ciptaan Allah SWT dan begitu takut diingatkan tentang malaikat yang sentiasa berada di kiri dan kanan menulis perbuatanku. Semasa menghafal surah Al-Hadiid pula, aku terasa begitu dekatnya dengan Allah SWT kerana surah itu banyak menyebut nama Allah.
- Jadikan Al-Quran sebagai pedoman dalam hidup. Apa yang sudah dihafal perlu dihayati dan dijadikan amalan. Antara sebab seseorang hafiz boleh lupa hafalannya ialah kerana dia tidak mengamalkan apa yang dia tahu.
- Ikhlaskan diri dan mohon pada Allah SWT agar memudahkan diri untuk terus menghafal kalimah-kalimahnya.
Semoga Allah menerima usaha kita dalam menghafal Al-quran dan memberi kita keberkatan di dunia serta ganjaran di akhirat. Amin.
~Techie Qari~
Rujukan
Brown, P. C., Roediger III, H. L., & McDaniel, M. A. (2014). Make it stick: The science of successful learning. Harvard University Press.