arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 03-5

Sang Harimau: Lembaran Juzuk Cinta oleh Furqan Fawwaz & Umi Anis

Novel ini mengisahkan perjalanan hidup seorang Umar, lapan tahun, yang menghadapi tragedi amat memilukan. Untuk membantunya menghadapi kesedihannya, saudara-maranya menempatkannya di sebuah sekolah tahfiz supaya dia boleh memulakan hidup baru, jauh dari tempat tragedi yang menimpanya. Bermulalah kehidupannya sebagai seorang pelajar tahfiz. Ada saat suka dan ada juga saat duka. Banyak iktibar boleh diambil dari ketabahan Umar menghadapi pelbagai peristiwa dalam hidupnya serta semangat kuat yang ditonjolkan para pelajar tahfiz. Cabaran yang mereka hadapai tidak sedikit pun melenturkan keazaman mereka untuk terus menghafal Al-Quran. Kata-kata mutiara dari orang-orang di sekeliling Umar juga amat baik untuk dijadikan pedoman.

Satu perkara yang suka tentang buku ini ialah apabila ayat-ayat Al-Quran yang diselitkan amat sesuai mengikut jalan cerita. Saya juga dapati amat senang untuk membaca buku ini kerana barisan ayat-ayatnya dicetak tidak terlalu rapat.

Ada beberapa tempat dalam cerita yang tidak dihuraikan dengan cara memuaskan, atau tidak mempunyai kesinambungan. Bahasa yang digunakan baik, tetapi kesilapan yang banyak yang boleh dielakkan jika disunting dengan teliti mungkin akan dikecam oleh mereka yang lebih prihatin. Pun begitu, ini tidak menghambat minat saya untuk terus membaca sehingga ke penghujungnya.

Yang menariknya, penulis adalah sepasang anak dan ibu yang mengajar di sebuah sekolah tahfiz, yang dikelolakan keluarga. Saya tidak hairan jika banyak kisah-kisah dalam buku ini diambil dari pengalaman sebenar penulis.

Selamat membaca!

Teg:

Anda mungkin juga berminat...