arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 03-3

Sesal

Sesal. Sesal aku kerana memuat turun aplikasi permainan itu di telefon bimbitku. Semenjak aku mempunyai permainan yang mudah diakses dari telefon bimbitku, setiap waktu senggang akan dipenuhi dengan bermain. Dan kesannya pada fizikalku amat terasa.

Semenjak aku kembali bermain permainan aplikasi, aku dapat rasakan yang aku lebih penat daripada biasa. Mataku sentiasa kuyu, berkedip-kedip tanpa kawalan (involuntary twitch) dan aku lebih letih dan sukar untuk bangun dari tidur. Aku juga susah untuk tumpukan perhatianku apabila sedang mendengar tafsir atau sedang membuat hafalan Al-Quran. Walaupun aku yakin tiada unsur-unsur maksiat atau syirik dalam aplikasi permainan yang aku main, aku dapat rasakan rangsangan dari permainan yang berwarna-warni dan pantas itu tetap mengganggu otakku. Fikiranku sentiasa rasa bercelaru dan tidak dapat fokus. Tanganku juga kembali terasa sengal-sengal kerana jariku berada dalam kedudukan kekok yang agak lama setiap kali aku bermain.

Aku juga kesal kerana dengan terisinya waktu senggangku dengan permainan itu, aku tidak lagi menigisnya dengan bertafakkur menikmati alam, berzikir mengingati Allah atau berselawat, mahupun mendengar ceramah-ceramah pendek. Alangkah ruginya!

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya kampung akhirat itulah sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”

(Q.S. Al-Ankabut [29]: 64)

“Dan apa sahaja (kekayaan, jabatan, keturunan) yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kesenangan hidup duniawi dan perhiasannya; sedang apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Maka apakah tidak kamu memahaminya?”

(Q.S. Al-Qashash [28]: 60)

Ramai di antara kita merasakan yang kita tidak dapat hidup tanpa hiburan. Tetapi aku percaya, ada bezanya antara hiburan yang mengasyikkan serta penuh kemungkaran, dengan rehat secara bersantai dalam batas-batas syariat. Kadang-kala kita tertipu oleh bisikan syaitan dan hawa nafsu kita bahawa kita ‘mesti’ tonton filem, main aplikasi permainan atau tenggelam dalam pembacaan yang tidak berfaedah untuk merehatkan diri kita dan mengurangkan tekanan hidup kita. Padahal banyak lagi perkara lain yang boleh kita lakukan.

Gambar: Adrian Swancar

Cuba renungkan. Jika Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya berada di tempat kita, adakah mereka akan mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang sia-sia dan merosakkan seperti yang kita lakukan? Mungkin sukar untuk insan lemah seperti kita percaya bahawa membaca dan mempelajari Al-Quran, berzikir dan bertafakkur, melaksanakan solat sunat – semuanya boleh menimbulkan nikmat yang begitu mengasyikkan sehingga kita tidak perlukan hiburan-hiburan yang memperdayakan. Tetapi itulah yang Rasulullah s.a.w. dan para sahabat rasakan.

“Sesungguhnya orang-orang yang takut (azab) Tuhan mereka, mereka sentiasa bimbang. Dan mereka yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka. Dan mereka yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun). Dan mereka yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera dalam kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera (lebih dahulu) memperolehnya.”

(Q.S. Al-Mu’minuun [23]: 57-61)

Tetapi bolehkah aku yang sangat lemah dan kerdil ini mencapai tahap sedemikian?

Ya, boleh. Aku pernah mengalaminya. Sekali. Tetapi itu sudah cukup untuk memberitahu aku, bahawa aku mampu untuk mencapai tahap itu satu hari nanti. Aku tidak boleh putus asa.

Aku akur, bukan mudah untuk mengubah tabiat dan pemikiranku. Bagiku, langkah pertama adalah mengaku bahawa hiburan yang aku cari di kala lapang atau waktu aku ‘perlu menggembirakan hati’ bukanlah sesuatu yang baik. Jujur pada diri sendiri, yang aku telah melakukan kesalahan. Mengaku kelemahan diri dan berazam untuk perlahan-lahan menghentikan tabiat burukku. Aku akan gagal dan tergelincir berkali-kali tetapi aku tidak boleh putus asa. Di samping itu, aku akan merintih memohon ampunan Allah SWT serta minta petunjuk dan pertolongan-Nya agar satu hari nanti aku akan benar-benar bertaubat. Aku yakin, aku mampu lakukannya, walaupun ia akan memakan masa yang panjang dan memerlukan mujahadah yang berterusan.

“Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).”

 (Q.S. Az-Zumar [39]: 53-54)

~Q~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...