arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 03-3

Detoksifikasi

Anak aku penagih.

Bukan mudah untuk aku mengakuinya. Malah, berminggu-minggu aku menafikannya. Jelas sekali anakku menunjukkan tanda-tanda seorang penagih tetapi seperti ramai orang di luar sana, aku tidak percaya seseorang itu boleh ketagihan teknologi seperti ketagihan dadah atau alkohol. Meskipun anak aku banyak berbohong untuk memuaskan keinginannya. Meskipun dia semakin kurus dan mencengkung. Tidak akan makan kecuali jika dipanggil berkali-kali. Tidak akan tidur, melainkan setelah dia benar-benar penat lalu terlelap di hadapan komputer. Tidak mandi. Tidak lagi bermain bola, keluar dengan kawan-kawan dan mengelakkan untuk luangkan masa bersama keluarga. Terperap di dalam biliknya sepanjang masa. Semuanya semata-mata untuk bermain dan terus bermain.

Gambar: 8machine _

Apabila dia ponteng sekolah, aku rasa terdesak untuk melakukan sesuatu. Aku merampas komputernya. Sungguh, aku tidak sangka dia akan naik berang lalu bertumbukkan dengan aku. Anak aku yang tidak pernah bersikap agresif menjadi seorang yang hilang kawalan.

Semua tanda-tanda seorang penagih.

Syukur Alhamdulillah, anak aku sudah sedar sekarang dan dalam proses pemulihan. Aku perlu berterima kasih kepada guru-guru dan rakan-rakan sekolah barunya kerana membantu anak aku untuk mengatasi ketagihan permainan komputernya. Kini, baru aku tahu, bahawa terdapat ramai remaja seperti anak aku, terutamanya di negara-negara membangun seperti di Amerika Syarikat. Ada ketagihan permainan video seperti anak aku. Ada ketagihan telefon bimbit dan media sosial.

Ketagihan itu semua bukan kebetulan. Syarikat-syarikat teknologi telah mengupah pakar neurosains untuk secara sengaja membuat permainan video begitu merangsangkan sehingga boleh membuat pemainnya ketagihan. Penyedia khidmat video seperti YouTube dan Netflix meletakkan ciri-ciri seperti cadangan video untuk ditonton seterusnya dan autoplay untuk menggoda kita menonton dan terus menonton. Pembikinan media sosial juga dengan sengaja dicipta supaya menarik penggunanya untuk kerap kembali menyemak media sosial. Dikatakan bahawa taktik yang mereka gunakan mirip taktik yang digunakan pembuat mesin slot perjudian di kasino.

Tidak hairanlah jika kita ketagihan.

Pun begitu, bagi mereka yang sedar, masih ada harapan untuk sembuh. Seperti anak aku. Dalam menuju ke arah pemulihanku, ada beberapa langkah yang sekolah baru anakku ambil:

1) Pisahkan anak dari segala bentuk teknologi selama empat minggu. Hatta sebuah komputer untuk ‘membuat kerja sekolah’ mahupun television, tidak dibenarkan. Semua kerja sekolah tidak melibatkan sebarang peranti. Di kalangan pakar penagihan, proses ini dikenali sebagai cold turkey, satu kaedah mendadak untuk set semula dan turunkan sistem saraf yang terlalu terangsang (reset the hyperaroused nervous system) kepada tahap normal.

Aku tahu, itu waktu yang amat sukar bagi anak aku. Selama itu juga dia tidak mahu berhubung langsung denganku. Marah kerana aku memaksanya melalui proses pemulihan yang amat menyakitkan baginya. Menurut cikgunya, kadang-kala anak aku akan mengalami kemurungan, kadang-kala dia menjadi agresif. Kadang-kala dia akan berpeluh-peluh. Tangan terketar-ketar, gian hendak menaip dan menyentuh tetikus.

Waktu inilah yang paling kritikal. Orang sekeliling perlu kuat dengan pendirian mereka untuk tidak memberikan peranti kepada anak mereka.

2) Adakan rutin untuk keluar berjalan-jalan di kebun, taman atau hutan setiap pagi dan petang untuk berhubungan dengan alam.

Rutin sebegini lama-kelamaan menjadi sesuatu yang amat anakku hargai. Dia mengaku, betapa ruginya dia selama ini kerana tidak menghirup udara segar, menikmati pemandangan menghijau dan merasakan kenyamanan angin kerana terperap di dalam rumah di hadapan sebuah mesin!

3) Bantu anak mencari minat atau hobi yang lebih sihat dan manfaat tanpa memerlukan teknologi.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti bersukan, berlukis, membaca buku kertas. Anakku mulanya bermain-main dengan Lego. Kemudian minatnya berkembang ke arah rekabentuk perabot. Menurut gurunya, anak aku kini banyak menghabiskan masa di bengkel, melakar dan membuat perabot.

4) Bina sebuah rangkaian sosial yang menyokong dan tidak bersikap negatif terhadap ketagihan. Aku bersyukur kerana anak-anakku mendapat rakan-rakan yang amat memahami keadaannya. Mereka tidak menghakimi anak aku kerana ketagihannya dan sentiasa melakukan pelbagai aktiviti yang tidak melibatkan teknologi bersamanya. Persekitaran sekolah barunya yang tidak banyak menggunakan teknologi juga amat membantu.

5) Akhir sekali, minta pertolongan Allah SWT untuk membantu memulihkan anak dari ketagihan ini.

Memang benar, dalam zaman sekarang, adalah sukar untuk hidup seratus-peratus tanpa teknologi. Sebab itulah kaunselor sekolah anakku memberitahuku, apabila mereka merasakan yang anak aku sudah bersedia, mereka akan membenarkannya untuk menggunakan peranti atau komputer sedikit demi sedikit sambil membantunya mengawal penggunaannya.

Ketagihan teknologi adalah sesuatu yang benar-benar wujud. Jika anda menyedari anda ketagihan atau tahu seseorang yang ketagihan, buatlah sesuatu untuk mengatasi ketagihan tersebut. Kerana hidup yang dibelenggu oleh ketagihan adalah hidup yang amat merugikan.

~Penulis Jemputan~

Rujukan

Harris, T. (2016, May 19). How Technology is Hijacking Your Mind — from a Magician and Google Design Ethicist. Medium. https://medium.com/thrive-global/how-technology-hijacks-peoples-minds-from-a-magician-and-google-s-design-ethicist-56d62ef5edf3   

Kardaras, N. (2016). Glow kids: How screen addiction is hijacking our kids-and how to break the trance. St. Martin’s Press.

Palfrey, J., & Gasser, U. (2020). The connected parent: An expert guide to parenting in a digital world. Hachette Book Group.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...