Ruginya Aku
Apa yang menarik mengenai sebatang kayu? Sudahlah warnanya tidak menyerlah (coklat), rasanya pun kasar apabila disentuh. Namun orang Melayu dahulu boleh mencorakkan sebatang kayu menjadi sesuatu ukiran yang berkilat dan indah. Tidak perlu buat kaca atau melombong marmar untuk cantikkan rumah.
Semenjak kebelakangan ini, aku rasa rugi. Aku anak kacukan Melayu dan Inggeris. Tetapi aku tidak begitu mengenali budaya Melayu.
Papa, kenapa papa tidak kenalkan aku kepada seni pertukangan Melayu yang peka terhadap kemampanan dan penjagaan alam sekitar? Kepada pembina-pembina Melayu yang prihatin dalam melestarikan khazanah bumi yang Allah amanahkan kepada kita? Tidakkah papa terkilan, mengagung-agungkan seni bina berlandaskan konkrit dan batu-bata yang tidak sesuai dengan tanah dan iklim kita?
Mama, sudah bertahun-tahun mama bermastautin di kepulauan Asia Tenggara ini, tetapi tidak pernah aku melihat mama mengenakan fesyen Melayu. Tahukah mama, busana Melayu mempunyai falsafahnya tersendiri, bertepatan dengan syariat Islam1? Tidak pernahkah tergerak hati mama untuk mengenali pakaian yang penuh kesantunan ini? Tidak terujakah mama untuk mencuba pakaian bersulam atau batik yang bercorak bunga dan daun?
Nenek, sebelum ini, aku hanya mengenal isi ikan bersalut tepung, dipadankan dengan kentang yang digoreng. Fish and chips makanan yang mama sajikan kepada kami setiap minggu. Sekarang baru aku tahu, apabila nenek moyangku memasak ikan, mereka masak seluruh ikan itu dari kepala hingga ke ekor tanpa membazir satu bahagian pun. Mereka akan menjilat-jilat jari mereka menghabiskan kuah asam pedas yang penuh perisa berbau harum dengan asam, cili dan daun kesumnya. Hidangan lebih sedap dan lebih berkhasiat daripada ikan yang digoreng dalam rendaman minyak.
Dan rendang. Ah rendang! Kenapa aku tidak pernah dengar tentang keistimewaan rendang sebelum ini? Makanan yang dimasak lama atas suhu yang rendah ini boleh bertahan berminggu-minggu dan pernah dijadikan bekal untuk mereka yang merantau satu ketika dulu2. Begitu lazatnya rendang sehingga ia pernah disenaraikan sebagai antara 50 hidangan terlazat dunia3!
Aku cukup cemburu menonton di televisyen orang-orang Itali, Sepanyol, Mexico dan Perancis melibatkan anak-anak dan cucu-cucu untuk sama-sama memasak makanan kebudayaan mereka supaya ilmu itu dapat diturunkan. Kenapa nenek tidak ‘memaksa’ cucu-cucu datang ke rumah seminggu sekali atau sebulan sekali untuk sama-sama menguli dan menyepit epok-epok, membuat tahi minyak untuk kuih koleh-koleh atau membungkus kuih koci dalam daun pisang?
Aku kesal kerana selama ini, dalam aku menuntut ilmu, aku tidak pernah langsung meraih manfaat dari kekayaan budaya Melayu. Sepatutnya apa yang telah nenek moyang kita majukan, kita ambil, ubah suai dan buatkannya lebih baik supaya ia kekal berguna dan relevan hingga ke akhir zaman.
Aku mungkin ada alasan kenapa aku tidak begitu kenal bahasa dan budaya Melayu. Mungkin. Kerana ibuku bukan Melayu. Tetapi bagi anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang kedua-duanya Melayu, apa alasan kalian menafikan ilmu dari satu bangsa bertamadun ini?
~Mat Saleh~
Terima kasih pada Aurora kerana telah membantu membaiki rencana ini.
Rujukan
1 Tehrani, F. (2007). Manikam Kalbu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
2 Lukman, L. M. (2020, July). Sejarah dan Filosofi Rendang, Makanan Terlezat di Dunia. Gala Media News. https://galamedia.pikiran-rakyat.com/humaniora/pr-35598094/sejarah-dan-filosofi-rendang-makanan-terlezat-di-dunia
3 The world’s 50 best foods. (2021, April). CNN Travel. https://edition.cnn.com/travel/article/world-best-food-dishes/index.html