arrow_upward

Rabiulawal/Rabiulakhir
Isu 03-2

Istimewanya Bahasa Melayu

Semenjak di bangku sekolah, saya fikir bahasa Inggeris adalah bahasa yang sangat mengelirukan kerana ejaan dan sebutannya yang tidak tetap. Umpamanya, ‘come’ disebut ‘kam’ (mengikut sebutan bahasa Melayu) tetapi ‘cope‘ disebut ‘kop’. Padahal kedua-duanya bermula dengan huruf C-O. Perkataan yang bermula dengan ‘U’ juga mempunyai sebutan yang berbeza-beza. Kalau ‘upper’, ‘under’, ‘ugly’ dimulakan dengan bunyi ‘a-’, ‘utopian’, ‘utility’, ‘useless’ dimulakan dengan bunyi ‘yu-’.

Jiwa remaja saya memberontak kerana perlu memahirkan diri dalam bahasa yang menjengkelkan itu Inggeris tetapi apakan daya. Kami terpaksa menguasainya kerana sebahagian besar ilmu hanya terdapat dalam bahasa Inggeris.

Tetapi lainnya bahasa Melayu.

Apabila Islam mula disebarkan di Alam Melayu pada akhir kurun ke-13, bahasa Melayu ditulis menggunakan huruf Jawi, yang berasal daripada aksara Arab, dengan lima huruf tambahan – چ‎ (ca), ڠ‎ (nga), ڤ‎ (pa), ݢ ‎(ga), ۏ ‎(va), dan ڽ (nya‎). Oleh itu, bahasa Melayu mempunyai ejaan dan sebutan yang tekal (consistent), seperti bahasa Arab. Kebanyakan buku Melayu lama juga mempunyai muka hadapan yang dihiasi dengan cantik, seperti buku-buku Arab-Parsi. Walaupun bahasa Melayu jawi ditukar kepada rumi oleh para penjajah dan huruf rumi digunakan dengan meluas sehingga ke hari ini, ejaan dan sebutannya tetap tekal.

Gambar: Abdullah bin Abdul Kadir, Public domain, via Wikimedia Commons

Dengan itu juga, istimewanya bahasa Melayu adalah kebersamaannya dengan bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Pengambilan huruf jawi dan kosa kata dari bahasa Arab memudahkan orang Melayu untuk mempelajari ilmu agama Islam. Rumi pula memudahkan orang Melayu untuk membaca rencana di internet atau menyebarkan media dalam bahasa Melayu kerana papan kekunci (keyboard) yang sedia ada menggunakan huruf-huruf rumi. Bahasa adalah kunci kepada ilmu. Mengapa kita perlu hadkan diri dengan sengaja membuang bahasa Melayu yang tidak susah pun untuk dipelajari atau disebarkan?

Satu perkara yang mengagumkan saya tentang bahasa Melayu ialah ungkapan-ungkapannya yang tersirat. Kerana kesantunan orang Melayu, mereka lebih suka menegur secara kiasan supaya tidak menyinggung perasaan orang dengan kata-kata yang terlalu terus terang. Orang Melayu dahulu juga cukup arif menggunakan apa yang mereka perhatikan dari alam sekeliling untuk dijadikan pedoman yang diungkapkan dalam kata-kata yang indah. Peribahasa “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, “ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”, “di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung”merupakan segelintir sahaja daripada ungkapan-ungkapan yang amat bermakna ini.

Kiasan tentang alam juga selalu diselitkan dalam pantun. Lihat umpamanya pantun yang digunakan dalam adat meminang:

Pihak lelaki:-

Akar memanjat pohon ara

Nampaknya cantik berseri laman

Besarnya hajat tidak terkira

Hendak memetik bunga di taman.

Pihak perempuan:-

Nampak cantik berseri laman

Tempat bertandang beruk dan kera

Hendak menyunting bunga ditaman

Sudahkah cukup syarat dan kira?

Pihak Perempuan:-

Pergi mengail ikan gelama

Laut gelombang serta gelora

Niat baik sudah diterima

Nak tengok dulu muda kah tua!

Pihak lelaki:-

Bunga cantik hiasan taman

Bunga sena penghias biara

Tentulah pemuda yang jadi idaman

Orang tua pengatur bicara.

Pihak lelaki:-

Kalau padi katakan padi

Tidaklah kami tertampi-tampi

Kalau sudi katakan sudi

Tidaklah kami ternanti-nanti.

Pihak Perempuan:-

Pohon cempedak ditepi titi

Pohon nangka buah sebiji

Kalau sudah berkenan di hati

Marilah kita mengikat janji1

Budaya orang Melayu yang suka memerhatikan alam ini amat serasi dengan ajaran Islam seperti yang diseru di dalam Al-Quran.

“Dialah (Allah) yang telah menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya menjadi minuman, sebahagian daripadanya (menyuburkan) tumbuhan pokok-pokok untuk kamu menggembalakan haiwan ternakan.

Dia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun, kurma, anggur dan juga daripadanya segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.

Dan Dia menundukkan bagi kamu malam dan siang, matahari dan bulan; dan bintang-bintang ditundukkan dengan perintah-Nya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memahami.

Dan apa jua yang Dia adakan untuk kamu di bumi yang berbagai warnanya. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kemurahan/rahmat Allah) bagi kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.”

(Q.S. An-Nahl [16]: 10-13)

Harapan

Semasa saya bersekolah, saya agak kecewa apabila guru-guru saya menyuruh kami para pelajar membaca buku Melayu untuk mempertingkatkan kemahiran bahasa Melayu kami tetapi tidak pernah mencadangkan mana-mana buku yang menarik dan berkualiti. Terus terang saya katakan, kalau cikgu saya yang cadangkan sesuatu buku, sudah tentu saya akan membacanya. Sehingga kini, saya mengesyaki guru-guru saya sendiri tidak membaca buku Melayu. Saya masih ingat bagaimana saya terkial-kial mencari bahan bacaan yang mempunyai penulisan bahasa Melayu yang baik (tidak dicampur-adukkan dengan bahasa Inggeris atau pertuturan bahasa pasar). Apatah lagi untuk mencari karya yang juga menarik. Tamat sahaja peperiksaan, saya tidak lagi membaca buku Melayu untuk lebih sepuluh tahun.

Sudah menjadi lumrah untuk anak-anak muda mengikut contoh yang mereka lihat. Jika lebih ramai orang dalam masyarakat kita – guru, ibu bapa, nenek datuk, pakcik makcik, abang kakak – sama-sama menujukkan minat dalam bahan bacaan atau tontonan dalam bahasa Melayu, pasti lebih ramai anak muda akan terdorong untuk meneladani mereka, lebih-lebih lagi apabila apa yang dibaca atau ditonton dibincang bersama secara santai. Pasukan rihlah ada beberapa saranan yang boleh dijadikan permulaan dalam segmen Dari Rak kami. Tanggungjawab melestarikan bahasa dan budaya Melayu tidak sepatutnya diletakkan hanya pada bahu guru-guru. Jangan jadikan bahasa Melayu sesuatu yang hanya diraikan setahun sekali dalam pameran bulan bahasa sahaja.

Namun, bagi saya, yang paling penting ialah untuk kita memupuk kemahiran anak-anak muda untuk berkarya dalam bahasa Melayu. Galakkan mereka menghantar rencana ke majalah, suratkhabar, pertandingan ataupun bekerjasama menghasilkan sebuah risalah digital yang relevan dan bermakna bagi mereka melalui wadah seperti YouTube atau WordPress, dalam bahasa Melayu. Bukan memaksa mereka menulis karangan Melayu yang kaku sebagai latihan untuk peperiksaan sahaja.

Ibu bapa terutamanya perlu melibatkan diri dan pantau kegiatan anak-anak untuk menunjukkan sokongan serta melindungi mereka daripada ancaman siber. Siapkan diri mereka dengan kekuatan emosi dan mental untuk menghadapi dan menangani sebarang komen terhadap karya mereka supaya tidak mudah terbawa-bawa dengan pujian atau putus asa dengan kejian. Mudah-mudahan ia dapat menggalakkan mereka berkecimpung dalam lapangan perfileman dan persuratan Melayu dan melahirkan pelapis yang lebih memahami citarasa setiap generasi supaya lebih ramai anak muda membaca, menonton dan menggunakan media bahasa Melayu.

Bahasa dan budaya Melayu septutnya dihidupkan oleh masyarakat Melayu sendiri, bukan hanya ahli akademik yang minat dalam bidang ini. Dalam mengetepikan bahasa bangsa sendiri, kita telah menutup satu jalan yang sedia ada untuk memperbanyakkan ilmu. Kita juga telah menutup jalan untuk bangsa lain menimba ilmu dari khazanah kita. Semua orang mempunyai peranan yang penting dalam melestarikan bahasa dan budaya Melayu agar ia tidak lapuk dek hujan, lekang dek panas.

~Cikgu Espresso~

Rujukan:

1 Wali. 2012. Pantun Melayu. Retrieved September 7, 2023,  http://wali-pantunmelayu.blogspot.com/2012/03/pantun-meminang-1.html.

National Library Board Singapore. (2007). Aksara: menjejaki tulisan Melayu [Panduan Balai].

National Library Board Singapore. (2018). Tales of the Malay World: manuscripts and early books.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...