Potensi E-buku Melayu
Cara kita sebarkan, hasilkan dan baca buku di masa kini semakin berkembang dengan pelbagai perubahan teknologi media. Namun, masuh banyak lagi peluang yang belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerbitan buku-buku Melayu supaya penulisan Melayu terus berkembang dengan arus perubahan ini.
Sumber sedia ada yang boleh dimanfaatkan
Tahukah anda, ada sebuah penyedia khidmat e-buku tempatan yang menawarkan koleksi e-buku Melayu yang paling besar di dunia? Dalam kebanyakan laman atau aplikasi penyedia khidmat e-buku yang sedia ada, agak sukar untuk mencari buku-buku Melayu jika anda tidak tahu dengan tepat apa yang anda cari. Tiada pilihan pun untuk mencari buku berdasarkan bahasa Melayu, tidak seperti bahasa Jerman, Rusia, Cina atau Jepun. Maklumlah, e-buku Melayu sangat sedikit berbanding e-buku dalam bahasa lain.
Laman dan aplikasi e-sentral menawarkan khidmat membaca e-buku khusus untuk pembaca buku Melayu. Selain mempunyai banyak e-buku dalam bahasa Melayu, lamannya juga mempunyai kategori yang unik dan terkenal di kalangan pembaca buku Melayu seperti ‘FIXI’, ‘Bookiut’ dan ‘Santapan Rohani’. Buku-buku percuma serta beberapa buku Inggeris seperti buku karangan Enid Blyton juga ditawarkan. Anda boleh memilih untuk hanya membeli buku yang anda minati, atau melanggani perkhidmatan ‘Hebat e-Sentral’ mereka pada harga RM 9.90 setiap bulan. Daftar untuk sebuah akaun, log masuk, beli buku yang anda mahu dan mulalah membaca! Banyak karya-karya yang tidak didapati dalam OverDrive boleh didapati di e-sentral, seperti karya Ramlee Awang Murshid, Pahrol Mohamad Juoi, Mizi Wahid, dan buku terbaru dalam siri Kronikel Empat Bahtera oleh Sri Rahayu Mohd Yusop.
Masih banyak yang perlu diperbaiki tentang laman webnya mahupun aplikasinya. Beberapa kali saya terpaksa buang dan pasang semula (uninstall and reinstall) aplikasi tersebut dalam telefon bimbit saya. Pun begitu, syabas kepada pasukan pembikin e-sentral. Semoga mereka terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan mereka sehingga setaraf dengan penyedia khidmat antarabangsa besar yang lain seperti OverDrive.
Satu lagi portal yang wajar diketengahkan ialah Kota Buku Digital Malaysia. Ini adalah satu perhentian yang menyeluruh sama ada untuk membeli buku Melayu dalam bentuk fikizal dan digital, mencari penerbit-penerbit atau mengenali penulis-penulis buku. Anda juga boleh dapatkan maklumat terkini tentang pesta buku di bawah ‘Kalendar Industri Buku’.
Bagi mereka yang tidak mampu untuk membeli e-buku, satu lagi sumber yang patut dimanfaatkan ialah OverDrive. Overdrive adalah antara penyedia bahan bacaan digital yang terbesar di dunia dan banyak perpustakaan negara mempunyai langganan OverDrive yang penggunanya boleh manfaatkan secara percuma. Seperti buku fizikal di perpustakaan negara, anda hanya perlu daftar sebagai pengguna, kemudian meminjam buku tanpa bayaran. Satu carian mendapati, dalam negara-negara yang mempunyai pembaca buku bahasa Melayu, perpustakaan negara Malaysia (https://pnm.overdrive.com/), Brunei (https://librarybrunei.overdrive.com/), Thailand (https://tkpark.overdrive.com/) dan Singapura (https://nlb.overdrive.com/) menawarkan perkhidmatan buku digital OverDrive bagi pembaca mereka. Namun demikian, antara perpustakaan-perpustakaan ini, hanya perpustakaan Malaysia dan Singapura menawarkan buku digital berbahasa Melayu yang kami minati, seperti karya-karya Hlovate, Bahruddin Bekri dan Zaid Akhtar. Dan… hanya perpustakaan Singapura lebih tersusun dengan koleksi khas untuk e-buku berbahasa Melayu. Pun begitu, apa yang ada cukup terhad.
Sayangnya, kami tidak temui laman overdrive untuk rakyat Indonesia. Walaupun begitu, sekolah-sekolah di situ boleh memohon membuka sebuah perpustakaan digital sendiri dengan melanggani OverDrive melalui patuan ini.
Nah, banyak sekali sumber digital yang sedia ada untuk diterokai bersama untuk menggalakkan lebih ramai orang membaca buku Melayu. Bagaimanakah kita boleh lebih memanfaatkannya?
Dari sudut pemasaran
Anda seorang penerbit atau penulis? Tidak melihat buku anda di laman digital perpustakaan negara anda atau luar negara meskipun ia boleh didapati dalam pangkalan OverDrive? Tebalkan muka dan tulis kepada pihak pustakawan untuk terangkan mengapa anda rasa buku anda sesuai untuk ditambah kepada koleksi yang sedia ada. Ataupun bina kerjasama dengan guru-guru bahasa Melayu di sekolah-sekolah supaya mereka dapat sama-sama menguatkan lagi permohonan untuk menambahkan mana-mana buku yang mereka ingin gunakan dalam bilik darjah mereka. Dalam era teknologi ini, para penerbit dan penulis perlu fikir cara-cara baru untuk mengetengahkan dan memasarkan buku-buku mereka. Kadang-kala, pembaca bukan tidak mahu membaca buku Melayu tetapi mereka tidak tahu apa buku yang sedia ada. Mereka tiada masa untuk mengunjung setiap satu laman penerbit buku bahasa Melayu.
Dari sudut penerbitan
Satu lagi peluang yang kurang diterokai oleh para penerbit atau penulis ialah untuk menerbitkan buku-buku lama yang masih dicari pembaca. Jika melihat koleksi buku digital Melayu yang ada, kebanyakannya ialah buku yang baru dihasilkan. Sedangkan banyak buku-buku lama yang masih dicari tetapi sukar ditemui kerana tidak lagi diterbitkan. Antara buku-buku yang teringin pasukan kami dapatkan ialah buku-buku seperti ‘Tunjuk Ajar Melayu’ oleh Tenas Effendy, ‘Panggil Aku Melaju’ oleh Rahmat Haroun Hashim dan ‘Hikayat Abdullah’ oleh Munsyi Abdullah. Buku-buku agama seperti tafsir Al-Azhar, terjemahan syarahan Fath al-Bari dan Al-Bidayah Wan Nihayah oleh Ibnu Kathir juga masih dicari-cari pembaca sehingga kini. Ada banyak juga buku berkualiti yang tidak diterbitkan lagi kerana syarikatnya sudah lingkup, tetapi patut dipelihara agar terus dapat dibaca oleh pembaca. Contohnya, karya-karya yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan yang diterbitkan Utusan Publications & Distributors. Kami ingin melihat para penerbit menyediakan ruang maklum balas untuk para pembeli atau pembaca mencadangkan buku-buku yang ingin mereka lihat diterbitkan semula dalam bentuk digital.
Dari sudut pembacaan

Buku dalam bentuk digital lebih murah, tidak memerlukan ruang fizikal untuk menyimpannya dan mudah diakses dan dibaca pada bila-bila masa, seperti apabila dalam perjalanan pulang atau sedang menunggu seseorang.
Buku digital juga memudahkan lebih daripada satu orang membaca sesuatu buku secara serentak, sama ada pelajar-pelajar dalam kelas mahupun ibu bapa bersama anak-anak mereka. Pembacaan lebih bermakna dan menyeronokkan apabila dapat berbincang tentang sesuatu buku dengan orang yang dekat dengan kita.
Ramai di antara kita mempunyai perpustakaan negara yang melanggani penyedia khidmat buku digital terbesar di dunia yang boleh diakses secara percuma. Kita sebagai pembaca patut memanfaatkannya dan meminta pihak perpustakaan menambahkan lagi buku-buku Melayu dalam satu koleksi khas supaya mudah pembaca mencarinya, demi menggalakkan lebih ramai orang membaca buku Melayu.
Bagi mereka yang mampu, sokonglah penulis dan penerbit buku Melayu dengan membeli buku-buku Melayu. Lebih-lebih lagi dengan adanya semakin banyak buku dalam bentuk digital yang tidak memakan ruang dan wang yang terlalu banyak.
Ayuh! Sama-samalah kita memanfaatkan kemudahan yang sedia ada untuk menerbit, menyebarkan dan membaca buku-buku Melayu.
~Techie Qari~
Rencana ini hanya pendapat peribadi penulis dan tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat mahpun penulis yang disebut.