9 sebab untuk bebas teknologi
Seorang budak tertumpu seperti zombi pada peranti. Kanak-kanak mengamuk kerana dipisahkan dari peranti. Remaja yang tidak hiraukan keadaan sekeliling kerana tenggelam dalam peranti.
Sedarkah anda, terlalu banyak menggunakan teknologi pada usia muda mempunyai kesan yang negatif? Kesan yang lebih-lebih lagi boleh menjejas pendidikan dan pembentukan peribadi kita untuk menjadi seorang hamba dan ahli ibadah yang dikasihi Allah.
1) Pendedahan berlebihan menjejas tumpuan
Ahli neurosains mengatakan otak kita akan berkembang dan hanya mencapai kematangan selepas usia dua puluh tahun. Tidak hairanlah para bijak pandai mensyorkan untuk lebih prihatin tentang pendidikan anak-anak sejak dalam kandungan lagi. Salah satu perkara yang otak kita perlu masa untuk membangunkan ialah keupayaan kita untuk memberi tumpuan. Kajian oleh Dr Hao Lei (2012) dan rakan-rakanya menunjukkan otak mereka yang ketagihan internet tidak normal pada bahagian yang berkatian dengan penumpuan perhatian, keupayaan membuat keputusan rasional dan mengawal emosi.
Bagi otak kanak-kanak dan remaja, jika ia tidak diberi peluang untuk mencapai potensinya, kemampuan untuk fokus akan terjejas. Tidak risaukah yang ini akan menjejaskan kekhusyukan dalam solat apabila mereka dewasa kelak?
“Mereka hanya mengetahui yang lahir dari kehidupan dunia; sedang mereka terhadap akhirat adalah lalai.”
(Q.S. Ar-Ruum [30]: 7)
2) Kebergantungan kepada teknologi menumpulkan daya menghafal
Dengan teknologi, kita tidak perlu menghafal banyak perkara seperti nombor telefon kenalan, laluan perjalanan ataupun ejaan. Akan tetapi, jika kita jarang melatih otak kita untuk menghafal, keupayaan kita untuk melakukannya akan menurun.
Ini bermakna kebergantungan pada teknologi boleh menyukarkan lagi kita untuk menghafal Al-Quran. Sedangkan Al-Quran adalah panduan seharian kita. Bagaimana kita hendak mengingati perintah Allah untuk ditaati, panduan-Nya untuk dituruti, nasihat-Nya untuk diikuti, dalam segenap kehidupan kita, jika kita hadapi kesukaran menghafal kalimah-kalimah-Nya?
“Dan sesungguhnya Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran (daripadanya)?”
(Q.S. Al-Qamar [54]: 17)
3) Otak lebih terangsang apabila membaca berbanding menonton
Membaca lebih baik daripada menonton video. Apabila anda membaca, otak anda akan terangsang kerana warna, bunyi, pergerakan, semuanya datang dari imaginasi anda sendiri. Membaca juga merangsang otak dalam kita mengupas makna tersirat dari apa yang kita baca. Sebaliknya, apabila kita bergantung kepada gambar atau video, semua perkara itu sudah disuapkan kepada kita. Kita tidak perlu berfikir.
Keupayaan berimaginasi dan berfikir penting dalam memahami Al-Quran. Allah menurunkan wahyu dalam bentuk kalimah-kalimah yang mempunyai makna dalam dan luas. Tidak ada gambar atau video yang boleh sampaikan keindahan wahyu Allah sebagaimana is disampaikan dalam bentuknya yang asli. Jika tidak biasa membaca, bagaimana anda hendak memahami dan menghayati apa diturunkan kepada kita atas rahmat-Nya? Bagaimana hendak menggambarkan nikmat syurga yang kita dianjurkan mengejarnya? Bagaimana hendak menimbulkan rasa gerun terhadap azab-Nya?
“Dialah yang menurunkan kepada hambaNya ayat-ayat yang jelas (Al-Quran), kerana Dia hendak mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah Maha Penyantun, lagi Maha Penyayang terhadap kamu.”
(Q.S. Al-Hadid [57]: 9)
4) Penggunaan kertas lebih baik daripada penggunaan komputer
Imaginasi dan kreativiti lebih mudah tercetus apabila menulis dengan tangan daripada menaip pada skrin. Kita juga lebih mudah ingat apa yang kita tulis daripada taip. Kajian juga menunjukkan pemahaman lebih meningkat apabila membaca pada kertas. Misalnya, membaca dari kertas membolehkan kita memegang dan melihat beberapa muka surat serentak dan membina peta minda dari pelbagai bahagian teks dengan mudah.
Saya sendiri merasai perbezaannya apabila menghadapi kekeliruan dalam mengingati surah Al-Waqiah.
Frasa اصحب اليمين kerap muncul di beberapa tempat, tetapi dengan sedikit kelainan. Buat seketika, saya terlupa apa yang patut disebut di mana. Apabila menggunakan aplikasi Al-Quran, sukar untuk membayangkan di mana letak perbezaan di ayat 27 dan 38. Ini kerana skrin telefon bimbit amatlah kecil. Tetapi dengan menggunakan mushaf kertas, serta-merta saya boleh membandingkan tiga mukasurat sekaligus dan melihat dengan jelas ayat yang saya ingin bandingkan.
Skrin peranti juga tidak mempunyai kontras (contrast) seperti cetakan atas kertas. Kontras yang lebih rendah pada skrin membuatkan hujung huruf-huruf kurang jelas (walaupun kita tidak mengesan perbezaan itu). Oleh itu, sistem visual kita perlu bekerja lebih keras untuk fokus pada skrin. Semakin lama kita membaca di skrin, semakin penat otot mata kita.
5) Pakar teknologi tidak membenarkan anak mereka menggunakan peranti
Tahukah anda, Steve Jobs tidak memberikan iPad pada anak-anaknya apabila ia mula dilancarkan, meskipun dia mewar-warkan manfaatnya? Banyak jurutera dan pegawai eksekutif yang bekerja di Silicon Valley menghadkan penggunaan teknologi untuk anak-anak mereka pada usia muda. Malah, mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Waldorf di mana teknologi tidak digunakan sehingga tingkatan lapan (menengah dua). Ini kerana mereka mempunyai pengetahuan mendalam tentang teknologi dan tahu bagaimana ia boleh merosakkan, terutamanya anak-anak.
American Academy of Child and Adolescent Psychiatry (2020) mengesyorkan untuk tidak membenarkan kanak-kanak berusia 18 bulan ke bawah melihat sebarang skrin peranti kecuali untuk berbual melalui video bersama keluarga yang berada jauh.
Perkembangan teknologi yang begitu pesat telah memudahkan akses kepada pelbagai bahan lucah dan ganas. Ini menyebabkan anak-anak yang otak masih berkembang dan belum cukup matang terdedah kepada pelbagai perkara yang membuat mereka ‘dewasa’ dengan cepat secara seksual tetapi terbantut dari segi keupayaan mental dan emosi untuk menghadapi krisis kehidupan.
6) Kurangnya penghargaan terhadap alam semulajadi
Ada anak-anak rasa bosan berada di taman atau hutan kerana sudah terbiasa menonton video yang mempunyai aksi-aksi lebih menarik seperti ikan melompat atau rusa minum. Ini kerana video memampatkan berjam-jam rakaman sebenar ke dalam satu jam supaya penonton tidak perlu menunggu. Ada juga anak-anak yang lebih suka melihat binatang robot yang lebih ‘aktif dan banyak aksi’ daripada binatang sebenar yang selalunya tidur dan tidak buat apa-apa di pameran museum atau zoo.
Semakin canggih teknologi, semakin mirip ia pada alam semulajadi sehingga manusia menganggap ciptaan manusia sudah mampu untuk mengganti ciptaan Tuhan. Baru-baru ini, terdapat usulan untuk membenarkan manusia berkahwin dengan robot. Ada juga tanggapan bahawa robot berhak untuk dianggap sebagai satu spesis tulen seperti manusia dan binatang.
Astaghfirullahal’azim! Apakah sama seorang manusia dengan sebuah robot yang manusia ciptakan sendiri? Manusia yang berfungsi dengan pelbagai organ dan sistem kompleks dari sistem saraf, pendarahan, pengkhadaman, imunasi, tulang? Yang mempunyai daya pemikaran, memori, hati dan perasaan dan yang penting sekali roh?
“(Allah-lah) Yang menciptakan setiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan Dia memulakan penciptaan manusia dari tanah;
Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati, dari air yang hina (air mani);
Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh ciptaanNya. Dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur.”
(Q.S. As-Sajdah [32]: 7-9)
Berhati-hatilah! Apabila asyik dengan peranti, tentunya kurang masa untuk memerhatikan dan menghargai kehebatan alam semulajadi. Jika terlalu mengagung-agungkan teknologi dan taksub dengan ciptaan manusia, ditakuti kita akan tertipu dan menganggap ciptaan manusia setaraf dengan ciptaan Tuhan! Dan pemikiran sedemikian sudah tentunya akan membawa kita jauh dari Allah SWT. Sedangkan dalam Al-Quran kita disuruh memerhatikan alam untuk mengingatkan kita kepada kehebatan Allah SWT.
7) Penggunaan terlalu banyak teknologi menumpulkan deria
Satu kajian oleh German Psychological Association yang melangkaui 20 tahun (Kneissle, 1997) menunjukkan kebolehan manusia membezakan pelbagai bunyi dan warna telah menurun dari generasi ke generasi. Penyelidik dalam kajian tersebut menyimpulkan otak manusia sekarang memerlukan rangsangan yang kuat untuk mengesan bunyi atau gambar. Ini tidak menghairankan kerana dalam zaman ini kita diganggu dengan pelbagai lampu warna-warni yang berkelip dan bunyi yang memekakkan dari media digital kita.
Salah satu perkara yang selalu membuat saya kagum apabila melontarkan pandangan dari jendela saya ialah betapa banyaknya variasi warna hijau hanya dari sebatang pokok. Subhanallah! Indahnya ciptaan Tuhan! Sebaliknya, seorang yang kurang derianya tidak akan mampu menghargai itu. Bukankah ia sesuatu yang menyedihkan?
“Apakah kamu tidak memerhatikan, bahwa sesungguhnya Allah menurunkan dari langit air, lalu Dia mengalirkannya menjadi sumber-sumber air di bumi kemudian Dia tumbuhkan dengannya (air itu) tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya, kemudian ia menjadi kering lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, kemudian Dia menjadikannya hancur berderai. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang yang berakal sihat.”
(Q.S. Az-Zumar [39]: 21)
8) Penggunaan teknologi yang berlebihan boleh menyebabkan ketagihan.
Para pakar psikologi mengatakan bahawa ketagihan teknologi mempunyai kesan yang sama berat dengan ketagihan dadah terhadap manusia. Banyak kes ketagihan teknologi yang membawa kepada keganasan, penyakit mental dan ketaksuban sehingga seseorang tidak boleh berfungsi secara normal. Ketagihan ini tidak terhad pada ketagihan pada permainan video yang ganas sahaja. Permainan video yang tidak ganas, mahupun penggunaan media sosial yang berlebih-lebihan, boleh menyebabkan ketagihan terutamanya di kalangan kanak-kanak.
Dan seperti yang kita maklum, sebarang ketagihan sudah tentu mengganggu keupayaan kita untuk hidup normal lalu menjauhkan kita dari melaksanakan ibadah. Apabila seorang manusia ketagihan, dia hanya boleh fikir hendak mendapatkan dan menggunakan apa yang dia ketagihkan tanpa menghiraukan tanggungjawab, halal haram, ataupun keperluan asasnya sendiri. Kalaupun ketagihan terhadap peranti tidak mendatangkan mudarat yang besar, ia tetap menyebabkan kita banyak membuang masa dengan sia-sia.
“Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-bangga tentang harta benda dan anak pinak; samalah seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani kemudian tanaman itu menjadi kering, dan kamu melihatnya berwarna kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaan. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
(Q.S. Al-Hadiid [57]: 20)
9) Kerana secara jujurnya, anda sendiri merasa kesannya pada diri anda.
Tidak perlu baca beratus-ratus kajian atau buku. Pengalaman sendiri setelah terlalu lama menggunakan telefon pintar tidak dapat disangkal lagi. Skrin di hadapan kelihatan kabur. Tangan terasa kejang. Keupayaan untuk menumpukan perhatian semakin menurun. Rasa tidak puas dan penat yang berlebihan.
Saya pasti, anda juga merasainya. Pengalaman sendiri sudah membuktikan bahawa penggunaan teknologi yang berlebihan mempunyai kesan yang negatif pada keupayaan anda bekerja dan belajar.
Untuk hidup tanpa teknologi agak mustahil. Sebaliknya, berpada-pada dan bersikap bijaklah dalam menggunakan teknologi agar kita tidak menjadi hamba kepadanya.
~Cikgu Espresso~
Rujukan
American Academy of Child and Adolescent Psychiatry. (February 2020). Screen time and children. https://www.aacap.org/AACAP/Families_and_Youth/Facts_for_Families/FFF-Guide/Children-And-Watching-TV-054.aspx#:~:text=Between%2018%20and%2024%20months,limit%20activities%20that%20include%20screens.
Chemin, A. (2014, 16 Dec). Handwriting vs typing: is the pen still mightier than the keyboard? The Guardian. https://www.theguardian.com/science/2014/dec/16/cognitive-benefits-handwriting-decline-typing
Kardaras, N. (2016). Glow kids: How screen addiction is hijacking our kids-and how to break the trance. St. Martin’s Press.
Kneissle, M. (1997). Research into changes in brain formation. Waldorf Library. http://www.waldorflibrary.org/images/stories/Journal_Articles/RB2206.pdf
Lin, F., Zhou, Y., Du, Y., Qin, L., Zhao, Z., Xu, J., & Lei, H. (2012). Abnormal white matter integrity in adolescents with internet addiction disorder: a tract-based spatial statistics study. PloS one, 7(1): e30253. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0030253
Marci, C. D. (2022). Rewired: protecting your brain in the digital age. Harvard University Press.
Turkle, S. (2011). Alone together: why we expect more from technology and less from each other. Basic Books.