arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 03-5

5 sebab untuk menghafal Al-Quran

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah kerana memberikan kita kesempatan untuk menyambut Ramadhan sekali lagi Sudah tentunya ramai di antara kita sudah menanam azam untuk memperbanyakkan lagi ibadat dan amalan soleh dalam bulan suci ini. Ada yang berniat untuk menyumbang tenaga untuk kerja-kerja kemasyarakatan, ada yang hendak menambahkan lagi infak untuk mereka yang memerlukan, ada yang bersemangat untuk khatam dan membaca terjemahan tiga puluh juzuk Al-Quran.

Sekiranya ada yang sedang mempertimbangkan amalan baru untuk dimulakan, apa kata anda hafal Al-Quran?

“Hafal Al-Quran? Isy, berat tu.” Jangan begitu. Buang fikiran negatif jauh-jauh. Bukankah Allah telah berfirman berkali-kali dalam surah Al-Qamar, bahawa Al-Quran itu mudah untuk diingati?

“Dan sesungguhnya telah kami mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”

(Q.S. Al-Qamar [54]: 17, 22, 32, 40)

Jika Allah sendiri memberi jaminan bahawa Al-Quran itu senang untuk diingati, kenapa pula kita hendak mengatakan sebaliknya?

“Buat apa hendak hafal Al-Quran, sedangkan kita boleh rujuk padanya bila-bila masa?” Pastikah kita, Al-Quran akan sentiasa ada untuk kita baca? Buka mata dan lihatlah saudara-saudara Islam kita di serata dunia. Ada yang dilarang sama sekali melafaz, apatah lagi memiliki mushaf Al-Quran. Ada yang berada di tengah- konflik dan peperangan. Ada yang sedang menghadapi bencana alam yang berpanjagan. Jangankan hendak mencari mushaf, rumah pun sudah musnah. Mereka yang mempunyai Al-Quran di dada dapat merujuk kepada Al-Quran dengan mudah, terutamanya di masa ia sangat-sangat diperlukan bagi mengharungi cabaran yang dihadapi dengan keimanan dan kesabaran.

“Dan Kami turunkan dari Alquran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (Alquran itu) hanya akan menambah kerugian.”

(Q.S. Al-Isra’ [17]: 82)

Kalaupun kita hidup selesa di negara yang aman, kita masih perlukan Al-Quran untuk memberi kita petunjuk dalam setiap aspek kehidupan kita. Apabila menghadapi persoalan atau masalah dalam hidup, keluarkan sahaja ayat berkenaan dari kotak memori kita, berbanding menyelak atau mengimbas seluruh Al-Quran untuk mencari jawapan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud

“Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini.”

(Q.S. Al-Jaatsiyah [45]: 20)

Dengan Al-Quran di hujung jari, cara kita melihat alam sekeliling juga akan berubah. Umpamanya, apabila melihat keindahan alam, kita akan teringat ayat-ayat Al-Quran, sekaligus menghargai tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “ Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

(Q.S. Ali-Imran [3]: 190-191)

“Tidak usah hafal Al-Quran, ingat sahaja intipati dan pengajarannya, sudah cukup untuk dijadikan panduan.” Al-Quran adalah bicara Allah SWT kepada manusia dalam ungkapan yang sangat indah dan menusuk jiwa. Jika sesetengah orang mampu menghafal setiap lirik lagu artis pujaan mereka, mengapa kita tidak mahu mengingati setiap huruf, kalimah dan susunan ayat Yang Maha Agung, Raja segala raja? Hafallah Al-Quran, anda akan rasa nikmatnya. Setiap kali mengulang semula ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafal, terasa satu kelazatan yang sukar digambarkan. Hati merasa khusyuk, diri terasa dekat dengan Pencipta kita.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalan-Nya, agar kamu beruntung.”

(QS. Al-Ma’idah 5: Ayat 35)

Tambahan pula, Allah telah berjanji bahawa Dia akan memelihara Al-Quran sehingga ke akhir zaman. Ini bermakna setiap susunan dan bunyi huruf yang diturunkan akan sentiasa dijaga supaya manusia tidak boleh selewengkan wahyu Allah ini.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Alquran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.”

(Q.S. Al-Hijr [15]: 9)

Dan salah satu caranya Allah memastikan Al-Quran akan sentiasa dipelihara ialah dengan memastikan akan sentiasa ada orang yang menghafal Al-Quran. Para hafizlah yang akan memelihara Al-Quran di muka bumi ini. Tidakkah kita mahu menjadi orang-orang yang memelihara kalimah-kalimah Allah?

Mulakanlah Ramadahan ini untuk meluangkan sedikit masa untuk menghafal Al-Quran setiap hari, walaupun sepotong ayat atau separuh daripada itu. Percayalah, banyak kelebihan yang kita akan dapat dengan menghafal Al-Quran.

~Editor~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...